MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

2 Jun 2007

SUKAN

Baru dua tahun ceburi sudah dapat ganjaran

Pelajar St Patrick's kecap kejayaan pertama menangi Liga Golf Antara Sekolah-Sekolah

Oleh
Saparin Rasikin

BIARPUN baru dua tahun menceburi sukan golf, Erfan Subadi sudah menikmati ganjarannya.

Pelajar menengah dua Sekolah St Patrick's itu mengecap kejayaan pertamanya dengan memenangi Liga Golf Antara Sekolah-Sekolah Bahagian Handicap di Laguna Golf and Country Club awal minggu ini.

Pertandingan itu di bawah Program Golf Belia Nasional Laguna dan ditaja oleh HSBC.

Erfan, yang akan menyambut hari lahirnya yang ke-14 pada 24 Jun ini, berkata:

'Saya amat gembira dengan kejayaan ini kerana ia merupakan trofi pertama saya sejak dua tahun mula bermain golf.

'Saya berterima kasih, terutama kepada ayah, dan juga pro di Laguna yang memberikan tunjuk ajar mengasah bakat saya.'

Menurut Erfan, selain latihan dua atau tiga kali seminggu bersama pasukan sekolahnya di Laguna, ayahnya akan membawanya bersama ke Johor untuk bermain di sana hampir setiap Sabtu.

'Ayah banyak membantu meningkat permainan saya. Jadi, kejayaan pertama merupakan hadiah untuk beliau,' tambahnya.

Mengenai pertandingan yang dimenangi, Erfan berkata: 'Saya begitu ghairah dan yakin dapat mencatatkan kejayaan yang lebih baik selepas hanya menduduki antara 50 pemain terbaik tahun lalu.

'Selepas menunjukkan persembahan yang baik di peringkat awal, saya semakin yakin memenangi pertandingan ini.

'Kejayaan ini menguatkan lagi azam saya untuk terus meningkatkan permainan golf saya dengan harapan dapat mewakili Singapura pada suatu hari nanti.'

Mengenai cita-cita, Erfan dengan spontan berkata: 'Saya mahu menjadi pemain pro.'

Ayahnya, Subadi Joenet, yang pernah mengecap beberapa kejayaan di peringkat amatur, berkata: 'Saya akan sentiasa menggalak dan menyokong Erfan mencapai cita-cita itu.

'Tetapi pada masa yang sama, saya juga mahu beliau berjaya dalam bidang akademik. Oleh itu, beliau perlu bijak membahagi masa antara pelajaran dengan golf.

'Sungguhpun kami merestui cita-citanya menjadi pemain profesional, kami juga mahu memastikan dia berjaya dalam bidang akademik sebagai bekalan jika perlu membuat pilihan kerjaya selain daripada menjadi pemain golf profesional.'

Mengulas peningkatan prestasi anaknya dalam masa yang singkat, beliau berkata: 'Selain tunjuk ajar, saya berasa pencapaiannya ini adalah kerana minat yang mendalam dan ketekunannya berlatih.

'Memandang Erfan masih muda dan baru dua tahun berjinak-jinak dengan golf, saya percaya peluangnya meningkat terbuka luas jika beliau terus tekun berlatih dan dapat memberikan tumpuan semasa bertanding.'

Siapa tahu, dia akan mengikut jejak pemain nombor satu Singapura, Mardan Mamat.

Ini juga menjadi harapan Erfan dan ayahnya. Mudah-mudahan tercapai.


 
   
 

SUKAN

 
 
Permainan Belanda kini lebih menarik
 
 
Loew perlu bukti keupayaan menangi mahkota
 
 
Pengurus United mahu terus beri perhatian pada bakat muda
 
 
City minta maaf kepada Ferguson
 
 
Sekilas Sukan
 
 
Evra yakin Ferguson mampu mantapkan United
 
 
Sekilas
 
 
Jumaat terkenang saat cemas sakit secara tiba-tiba di padang
 
 
Bekas jurulatih Kelantan dilantik ketua jurulatih Terengganu
 
 
Apa sudah jadi SingaXII?