Mudah cetak
E-mel
19 Apr 2004
SUKAN
SEPAK TAKRAW
Manfaatkan kaedah terkini
Pengurus dan jurulatih harus sedia pertingkat diri
Oleh
Saparin Rasikin
PENGURUS pasukan dan juga jurulatih mesti bersedia meningkatkan diri dengan pengetahuan terkini bagi mengendalikan para pemain dengan lebih berkesan.
Dalam sekitaran yang semakin canggih ini, terdapat banyak bahan dan kaedah saintifik yang boleh dipelajari dan dimanfaatkan untuk membantu meningkatkan prestasi seseorang atlit.
Pengetahuan terkini ini bukan hanya dari segi latihan fizikal, bahkan persiapan mental atlit berkenaan.
Perkara ini adalah antara yang dibincangkan dalam Bengkel Pengurus Pasukan dan Jurulatih anjuran Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) di Pusat Kecemerlangan badan induk itu pagi semalam.
Dua ahli panel undangan yang mengendalikan bengkel lebih empat jam itu ialah Pakar Latihan Mental di Jabatan Sains Sukan Majlis Sukan Singapura (SSC), Aihni Samat, dan Penolong profesor Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan, C. Kunalan, di samping presiden Perses, Abdul Halim Kader, yang membentang soal pentadbiran dan pengurusan pasukan.
Semasa ditemui selepas bengkel itu, Aihni, yang juga seorang penembak negara, berkata: 'Bidang sukan telah melalui perubahan yang pesat. Oleh itu, pengurus mahu pun jurulatih pasukan perlu melengkapkan diri dengan pengetahun terkini.
'Selain latihan fizikal, aspek mental perlu diberi perhatian untuk menangani masalah dan suasana pertandingan yang semakin mencabar.'
Aihni memberi contoh: 'Kini para pegawai mesti memahami diri dan keperluan setiap atlit mereka, terutama masalah yang boleh menjejas prestasi mereka.
'Seseorang atlit akan lebih bersemangat apabila menyedari pengurus atau jurulatih memberikan perhatian dan memenuhi keperluan mereka.'
'Tanpa masalah dapat membantu seseorang atlit itu meningkatkan prestasi mereka,' tambahnya.
Menyentuh sains sukan, Kunalan menerangkan: 'Kini terdapat kaedah latihan yang boleh membuat seseorang atlit itu lebih gagah, bertenaga dan fleksibel.'
Seorang peserta dari Persatuan Sukan Polis, Othman Salim, mendapati bengkel ini amat berfaedah terutama sekali mental dan cara menangani sikap para pemain.
'Bengkel ini jadi pembuka mata kerana selama ini aspek mental kurang diberi perhatian,' katanya.
Jurulatih Kampong Ubi CSC, Razali Rahmat, turut akur dan menambah: 'Rata-rata para pemain kita lemah dari segi mental dan saya percaya bengkel ini memberikan kita cara untuk mengatasi kelemahan ini.'