Mudah cetak
E-mel
19 Nov 2008
SUKAN
Maradona mahu anak buah berjuang bermati-matian
GLASGOW: Kesebelasan Argentina harus berjuang bermati-matian jika mereka ingin mengalahkan Scotland dalam perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di sini hari ini.
Demikian ditegaskan oleh Diego Maradona, yang mula memimpin latihan pasukan Argentina selepas dilantik menjadi jurulatih pasukan itu baru-baru ini.
Kini berusia 48 tahun, Maradona mengambil alih tugas sebagai jurulatih Argentina daripada Alfio Basile pada bulan lalu selepas pasukan itu tewas 0-1 di tangan Chile dalam kelayakan Piala Dunia Kumpulan Amerika Selatan.
Maradona, yang membantu Argentina menjulang Piala Dunia pada 1986 di Mexico, menegaskan bahawa perlawanan pertamanya itu harus dianggap sebagai sama pentingnya dengan kelayakan Piala Dunia.
'Negara seperti Argentina tidak bermain dalam perlawanan persahabatan. Kami sedang bertarung dalam kempen kelayakan Piala Dunia dan perlawanan ini harus dianggap sama penting dengan kelayakan Piala Dunia.
'Pemain kami harus berjuang sejak daripada wisel pertama lagi. Saya harap mereka menunjukkan permainan yang lebih baik daripada yang disajikan semasa pertarungan dengan Chile,' ujar Maradona.
Menurutnya, ketiadaan Lionel Messi dan Juan Roman Riquelme daripada skuadnya itu tidak seharusnya menjejas keyakinan pemain-pemain lain menghadapi cabaran perlawanan itu.
'Tanpa kedua-dua pemain ini, Argentina harus beraksi untuk menang. Kami harus memikirkan cara-cara lain untuk memenangi perlawanan ini,' tambah Maradona.
Perlawanan yang akan berlangsung di Hampden Park itu akan mencetuskan sebuah nostalgia kepada Maradona yang menjaringkan gol pertamanya dalam pertandingan antarabangsa sekitar 29 tahun lalu.
Ketika itu, Maradona masih berusia 18 tahun dan golnya itu turut membantu negaranya mengalahkan Scotland 3-1.
Dan antara pemain Scotland ketika itu ialah George Burly yang kini menjadi pengurus pasukan negaranya.
Terry Butcher, yang beraksi dalam pasukan England yang tewas 1-2 di tangan Argentina dalam Piala Dunia 1986, pula adalah penolong pengurus pasukan Scotland.
Walaupun 22 tahun telah berlalu tetapi Butcher masih belum dapat melupakan insiden Maradona menggunakan tangannya untuk menjaringkan gol dalam pertemuan 1986 itu.
'Saya tidak boleh memaafkan Maradona. Siapa yang tidak kecewa terkeluar daripada kejohanan terbesar bola sepak dunia itu dalam keadaan seperti itu. Tetapi itu adalah cerita 22 tahun lalu,' jelas Butcher. -- AFP.