Mudah cetak
E-mel
4 Feb 2006
SINGAPURA
Masih ramai belia muat turun muzik secara haram
Oleh
Nur' adilah Ahmad Mahbob
KEBANYAKAN belia masih mendapatkan muzik secara haram daripada Internet walaupun mereka sedar ia menyalahi undang-undang.
Satu kajian oleh sekumpulan pelajar Politeknik Singapura (SP) yang bertajuk Belia Singapura Dan Alat-alat Bimbit Mereka mendedahkan 61 peratus belia yang memiliki alat pemain muzik bimbit mendapatkan muzik secara percuma menerusi proses muat turun daripada Internet ataupun 'meniru' lagu-lagu dari koleksi CD kawan mereka.
Ini menunjukkan pengagihan dan perkongsian muzik secara haram masih berleluasa.
Persatuan Industri Rakaman Singapura (Rias) menegaskan dalam laman webnya bahawa kesalahan memuat turun lagu secara haram adalah menyalahi undang-undang hak cipta.
Sesiapa yang didapati bersalah dalam pengedaran muzik secara haram boleh dikenakan denda sebanyak $10,000 setiap artikel dan/atau hukuman penjara sehingga lima tahun.
Dapatan itu mendapati 38 peratus daripada 504 belia yang memiliki alat pemain muzik bimbit membeli muzik dari kedai dalam talian MP3 ataupun membeli CD mereka sendiri.
Hanya 1 peratus menamakan radio sebagai sumber muzik yang mereka dengari daripada alat pemain muzik mereka.
Kajian tersebut turut mendedahkan penyalahgunaan alat-alat pemain muzik itu dalam kelas semasa pembelajaran atau di tempat kerja.
Seramai 800 belia berusia antara 15 dengan 29 tahun terlibat dalam kajian yang dilakukan 85 pelajar tahun dua Media dan Komunikasi dari Sekolah Perniagaan SP tahun lalu.
Tinjauan berlangsung dari Julai hingga Oktober tahun lalu.
Kajian itu bertujuan mengkaji trend penggunaan alat-alat bimbit, termasuk tiga alat yang paling banyak dimiliki belia iaitu telefon bimbit, alat pemain muzik dan kamera digital.
Seramai enam daripada 10 belia mengakui mereka membeli sendiri alat-alat itu dengan wang simpanan, manakala 31 peratus dibelikan oleh ibu bapa mereka.
Dalam penggunaan kamera digital, seramai 50 peratus belia didapati kerap mengambil gambar mereka sendiri.
'Ini sesuatu yang tidak mengejutkan dengan populariti laman-laman web seperti Friendster dan blog-blog peribadi yang membolehkan belia mengambil gambar mereka untuk disiarkan,' kata ketua kumpulan pelajar daripada SP itu, Nur Sharina Shah, 18 tahun.
Nur Sharina dibantu dua rakannya Aizat Zolkipli dan Sabarina Abdullah.