Mudah cetak
E-mel
25 Ogo 2005
SINGAPURA
Pendidikan ITE bawa harapan masa depan lebih cerah
Bekas pelajar antara yang hargai ucapan PM Lee di Rapat Hari Kebangsaan
Oleh
Nazri Hadi Saparin
SEBAGAI bekas pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Cik Fadillah Md Razali masih ingat komen sinis yang sering dilemparkan kepada para pelajar ITE.
Bagaimanapun, beliau tidak membiarkan komen-komen itu menjejas dirinya kerana yakin pendidikan yang diterima di ITE mampu memberinya masa depan yang cerah.
Ternyata keyakinan Cik Fadillah itu tepat kerana hasil didikan ITE, beliau, yang kini 23 tahun, berjaya melangkah ke politeknik dan mendapatkan pekerjaan yang baik.
Menurutnya, beliau tidak akan melupakan pengajian di ITE kerana di situlah beliau berjaya menjadi pelajar yang berdikari hingga berpeluang memasuki Politeknik Temasek dalam jurusan kejuruteraan elektronik.
Bahkan, katanya, tempoh yang dihabiskan di ITE memberinya keyakinan diri dan tekad untuk berjaya di pengajian peringkat tinggi.
'Pendidikan di ITE mengajar saya berdikari. Meskipun sesuatu tugas itu mencabar, guru-guru akan memberi rangsangan untuk saya melakukannya sendiri.
'Di situlah saya belajar berdikari dan semakin yakin saya mampu mempraktikkan apa yang telah saya belajar,' katanya ketika ditemui dalam satu kem peningkatan diri untuk pelajar ITE anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) di Pulau Ubin kelmarin.
Cik Fadillah mengikuti kem tersebut sebagai penyelaras kem.
Menyentuh tentang ucapan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam Rapat Hari Kebangsaan Ahad lalu, Cik Fadillah, yang kini bertugas sebagai pegawai pelatih di Singapore Airport Terminal Services (Sats), berkata beliau gembira Encik Lee membincangkan mutu pendidikan dan lulusan ITE dalam rapat tersebut.
Ucapan itu, menurutnya, akan menghilangkan salah tanggap orang ramai terhadap ITE sambil memberi para pelajarnya suntikan semangat baru.
Beliau juga percaya, dengan mengetengahkan pencapaian ITE, ia bakal membuka lebih banyak peluang bagi para pelajar institusi itu untuk berjaya.
'Sekarang yang penting, para pelajar ITE harus merebut peluang yang telah tersedia dan menggunakannya sebaik mungkin,' ujarnya.
Beberapa pelajar ITE yang ditemui juga sebulat suara menghargai keprihatinan Encik Lee dan keputusannya mengetengahkan pencapaian institut itu.
Pelajar tahun pertama Sijil Institut Pendidikan Teknikal Nasional (Nitec) Tinggi dalam Kejuruteraan Elektrikal, Encik Noorhisham Habdin, 24 tahun, berkata beliau yakin semangat pelajar ITE akan semakin berkobar-kobar dengan sokongan yang ditunjukkan Perdana Menteri itu.
'Beliau memberi kami keyakinan bahawa pelajar ITE juga mempunyai peranan penting dalam masyarakat Singapura.
'Kami sedar pentingnya pendidikan, bukan sahaja untuk diri kami, tetapi supaya kami mampu menyumbang kepada kemakmuran negara,' kata penuntut ITE Tampines itu.
Ucapan Encik Lee turut disambut baik para pentadbir ITE.
Pengetua ITE Kolej Timur, Encik Tan Seng Hua, berkata ucapan Encik Lee itu memberi rangsangan kepada semua di ITE untuk terus maju.
'Tiba masanya untuk melukis gambaran yang betul terhadap pendidikan ITE.
'Saya gembira Perdana Menteri mengambil kesempatan di Rapat Hari Kebangsaan itu untuk melakukan demikian,' katanya.