DARI jauh, bangunan Masjid Abdul Hamid Kampung Pasiran bak sebuah rumah kampung Melayu.
Namun, apabila memasuki masjid di Gentle Road itu anda akan terkejut melihat reka bentuk dan hiasan dalamannya begitu moden.
Konsep 'dua dunia' itu disengajakan demi mengingatkan orang ramai masjid itu asalnya sebuah 'masjid kampung'.
Pada masa yang sama, hiasan dalaman moden itu mencerminkan keinginan masjid tersebut untuk mengikuti peredaran zaman dan dilengkapi dengan kemudahan moden bagi keselesaan jemaah.
Menjelaskan kepada Berita Harian, pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) itu, Haji Bahari Suradi, berkata arkitek projek pembangunan semula masjid itu dan LPM juga mahu mengekalkan reka bentuk kampung bagi masjid itu.
'Reka bentuk kampung menarik dan sesuatu yang lain daripada lain dibandingkan bangunan baru di Singapura.
'Namun bagi hiasan dalaman pula, sebaiknya ia harus baru dan moden bagi menggambarkan bahawa masjid ini tidak ketinggalan zaman dan mahu menyediakan kemudahan moden bagi pengguna,' ujarnya.
Masjid dua tingkat itu dilengkapi antaranya dengan bilik mesyuarat dan televisyen plasma.
Ia kini boleh menampung sehingga 800 jemaah, berbanding sekitar 500 sebelum ini.
Namun, satu tradisi yang tidak akan ditinggalkan ialah penggunaan kentung dan beduk semasa tiba waktu solat.
'Ini akan kami teruskan selama mungkin demi mengekalkan tradisi lama masjid ini,' kata Haji Bahari.