MADRASAH Al-Irsyad Al-Islamiah berhasrat mahu menjadi pusat kecemerlangan dan rujukan bagi pengajian bahasa Arab di rantau ini, menurut Pengarah Eksekutif Madrasah Al-Irsyad, Encik Razak Mohamed Lazim, semalam.
Bagi menjayakan usaha tersebut pihak madrasah telah mengorak langkah menyusun semula program pembelajaran bahasa Arab sejak 2006 supaya ia lebih bersifat intuitif dan interaktif lantas membantu menyemai 'budaya mencintai' bahasa Arab di kalangan pelajarnya.
Usaha menyemarakkan penguasaan bahasa Arab itu merupakan pendekatan bersepadu bagi mengasah bakat kepimpinan dan keupayaan berfikir para pelajarnya supaya mereka dapat memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat Singapura.
Encik Razak berkata demikian dalam temu ramah eksklusif dengan Berita Harian.
Tahun lalu, Madrasah Al-Irsyad muncul sebagai madrasah terbaik dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) apabila empat pelajarnya muncul antara lima pelajar madrasah terbaik.
Di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS), Al-Irsyad akan memberikan fokus kepada pendidikan madrasah peringkat rendah, Madrasah Aljunied sebagai madrasah peringkat menengah hingga posmenengah, sementara Madrasah Al-Arabiah pula sebagai madrasah yang menawarkan pendidikan akademik.
Madrasah Al-Irsyad kini mengambil 220 daripada sekitar 400 pelajar yang memasuki Darjah Satu setiap tahun.
Menurut Encik Razak, pihaknya mahu memastikan setiap pelajar madrasah itu bukan sahaja cemerlang dari segi sekular tetapi juga cemerlang dalam bidang ukhrawi.
Sebagai sebahagian rombakan yang dijalankan pada 2006, pihak madrasah telah mendapatkan kepakaran luar termasuk mendapatkan tenaga pendidik Dr Ahmad Hairuddin Murtani dari sebuah universiti di Malaysia bagi membangunkan ilmu pedagogi yang paling sesuai digunakan dalam membantu para pelajar belajar dan menguasai bahasa Arab.
'Hasil daripada rombakan itu, usaha menyemarakkan penguasaan bahasa Arab di kalangan pelajar madrasah kini dimulakan lebih awal, iaitu di peringkat darjah rendah lagi. Seperti yang kita tahu, kemahiran berbahasa meliputi aspek kemahiran membaca, menulis, bertutur dan mendengar. Penguasaan bahasa juga berkait rapat dengan budaya keilmuan seperti budaya membaca, bertukar pandangan serta berkarya.
'Di samping itu ia merupakan medan terbaik untuk melatih dan mengasah bakat kepimpinan dan keupayaan berfikir para pelajar madrasah supaya mereka dapat memberi sumbangan yang penting kelak,' ujar Encik Razak lagi.