Mudah cetak
E-mel
14 Mac 2009
SINGAPURA
Kerusi tiga kaki
KERUSI selalunya berkaki empat, tetapi dua mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) menghasilkan sebuah kerusi berkaki tiga.
Namun, kerusi ciptaan mereka, yang diberi nama 'kerusi #5' hanya boleh diduduki tidak lebih dari seminit. Jika diduduki lebih lama, ia akan roboh. Ini kerana kerusi itu dihasilkan hanya untuk dipamer.
Kerusi itu diberi nama 'kerusi #5' kerana ia seakan-akan 'lima kerusi dalam satu' jika dilihat dari sudut-sudut berlainan.
Hasil kreativiti mereka, pelajar tahun akhir Jabatan Seni Bina itu, Encik Abdul Rashid Adnan dan Encik Samson Tan, meraih anugerah merit dalam pertandingan tahunan kelima FL!P Challenge anjuran Majlis Perusahaan Perabot Singapura (SFIC) 6 Mac lalu.
Ditemui Berita Harian, mereka melahirkan rasa gembira di atas kejayaan itu, apatah lagi kerusi dua dimensi (2D) itu hanya berjaya diketengahkan setelah 652 percubaan.
Pertandingan ini menarik 69 penyertaan, dengan 17 daripadanya, termasuk 'kerusi #5', berjaya melangkah ke peringkat akhir.
Dalam pertandingan itu, peserta diberi sebuah kerusi serupa dan mereka dikehendaki membuka dan mengubah suainya mengikut kreativiti masing-masing.
Hadiah pertama berupa wang tunai $1,000, piala dan sijil.
Ditanya mengenai idea menghasilkan kerusi #5 itu, Encik Rashid, 29 tahun, berkata beliau dan Encik Tan mendapat ilham semasa melihat barangan yang disusun dalam cahaya kelam di Muzium Negara.
Menurut Encik Tan, 24 tahun, mereka kemudian mengambil masa tiga bulan untuk menghasilkan rekaan yang diinginkan - kerusi 'hidup' di bawah cahaya lampu dengan memberi gambaran berbeza dari setiap sudut.