Mudah cetak
E-mel
24 Feb 2009
SINGAPURA
Direktori usahawan Muslim di Internet
Jalin rangkaian dan promosi produk atau khidmat
Oleh
Atiyyah Mohd Said
PARA peniaga dan usahawan Singapura kini boleh memanfaatkan sebuah direktori dalam talian yang ditubuhkan oleh sebuah syarikat Malaysia untuk membolehkan mereka menjalin rangkaian dan mempromosi serta memasarkan produk dan perkhidmatan masing-masing.
Dikenali sebagai Direktori Usahawan Muslim Edisi Internet (Dumei), ia ditubuhkan oleh Kumpulan Usahawan Muslim Sdn Bhd (KUMSB) yang terlibat dalam bidang latihan perniagaan dan teknologi maklumat (IT).
Menerusi direktori dalam talian itu, para peniaga setempat bukan sahaja boleh menembusi pasaran di Malaysia dan antarabangsa, malahan dapat menjalin usaha niaga dengan para peniaga Muslim serta bekerjasama memasarkan dan mengiklankan produk dan perkhidmatan mereka ke seluruh dunia.
Semasa dihubungi Ekoniaga, pengarahnya, Encik Ahmad Bahari Mokhtar, berkata sebenarnya direktori ini ditubuhkan pada 2000 tetapi hanya sekarang digerakkan semula kerana pihaknya menyedari adalah perlu bagi para peniaga Muslim memanfaatkan teknologi canggih ini untuk memajukan perniagaan mereka.
'Dalam era globalisasi sekarang, para peniaga dan usahawan Muslim perlu bersaing dan mempersiap diri dengan ilmu dan pengetahuan mengenai teknologi maklumat.
'Direktori ini relevan buat masa kini, sedang dunia diselubungi krisis ekonomi. Ini kerana adanya kesedaran yang meningkat di kalangan peniaga Muslim untuk membangunkan kekuatan ekonomi dan saling membantu.
'Dengan cara ini juga, ia dapat menolong para peniaga dan usahawan Muslim mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan adanya pasaran yang lebih luas,' ujar Encik Ahmad lagi.
Direktori itu juga bermatlamat menjadi rujukan kepada para pengguna Muslim bagi mendapatkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh para peniaga dan usahawan Muslim di serata dunia, kata beliau.
Sejauh ini, direktori itu mempunyai 455 anggota, yang sebilangan besar adalah dari Malaysia, daripada pelbagai bidang seperti pendidikan, penerbitan, kejuruteraan, perhotelan, perkhidmatan dan makanan dan minuman (F&B).
Encik Ahmad menambah, ia sudah pun menerima pertanyaan daripada syarikatsyarikat di Indonesia dan Brunei dan ia berharap meluaskan lagi rangkaian peniaga yang menyenaraikan syarikat atau produk mereka di direktori itu, termasuk bagi peniaga di Singapura.
'Pada ketika ini, kami sedang mengatur semula rancangan mengembangkan lagi direktori itu dan berharap dapat menubuhkan unit latihan agar dapat menjalankan program-program mempertingkat keupayaan para peniaga dan usahawan Muslim,' ujar Encik Ahmad.
Mereka yang berminat untuk disenaraikan dalam direktori ini di laman web www.kumpulan-usahawan-muslim.com.my/pengenalan-dumei.html perlu membayar RM50 ($20.90) bagi langganan selama setahun.