MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

7 Feb 2009

SINGAPURA

Facebook berkesan jalin hubungan kumpulan Melayu

Ratusan kumpulan Melayu dibentuk dalam Facebook

Facebook memang sudah menjadi kegilaan jutaan orang terutama golongan media. Ia bukan sahaja menghubungkan talian persahabatan dan sosial di kalangan anggotanya malah menjadi wadah penubuhan pelbagai kumpulan untuk anggota berbincang, berinteraksi dan mengedarkan maklumat. Berikut laporan ATIQAH FAIRUZ MD SALLEH mengenai kumpulan-kumpulan Melayu di Facebook yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.

LEBIH 500 kumpulan berunsur Melayu telah dibentuk dalam wadah sosial Facebook meliputi kumpulan-kumpulan terlibat dalam pelbagai bidang termasuk politik, sosial, budaya dan gaya hidup.

Ia dibentuk untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Internet tentang wujudnya kegiatan-kegiatan mereka, selain bertujuan mengeratkan hubungan antara anggotanya.

Antara kumpulan yang aktif itu termasuk Persatuan Filem Melayu Singapura (SMFS), Raffles Malay Society dan kumpulan Melayu Canada.

SMFS, yang diterajui Encik Isnor Dzulkarnain Jaafar, dibentuk berlandaskan azam dan minat kumpulan tersebut dalam pembikinan filem.

Encik Isnor berkata, beliau menggunakan wadah Facebook untuk berhubung dan menghimpunkan para peminat filem Melayu lain agar bersatu.

'Tekad untuk menubuhkan SMFS bermula apabila menonton kembali filem Seniman Bujang Lapok. Saya ingin menghidupkan kembali zaman gemilang industri filem Melayu itu.

'Oleh itu, Facebook merupakan tapak permulaan yang sesuai untuk bertemu dengan teman-teman seperjuangan,' ujar pengurus penerbitan kreatif di sebuah syarikat pengiklanan.

Menurutnya, usaha yang sama di wadah yang hampir sama, iaitu Friendster, gagal diteruskan awal tahun lalu.

Tetapi dalam tempoh lapan bulan SMFS wujud di Facebook, Encik Isnor telah berjaya membina rangkaian seluas 600 anggota.

Facebook juga mempunyai kemudahan memberi ruang untuk filem-filem pendek dimuat naik di laman kumpulan SMFS untuk tontonan ramai. Antaranya termasuk hasil kerja penerbit dan pengarah filem, Encik Sanif Olek.

Bagi Encik Muhammad Nizam Abdul Aziz, 22 tahun, Raffles Malay Society yang diasaskannya bermula dengan cita-cita yang sederhana.

Beliau menubuhkan kumpulan tersebut sebagai wadah komunikasi bagi para pelajar daripada kumpulan sekolah Raffles di Singapura - Sekolah Menengah Perempuan Raffles (RGS), Raffles Institution (RI) dan Maktab Rendah Raffles (RJC).

'Saya berasa senang dapat berkenalan dengan bekas pelajar Raffles yang mungkin tidak pernah saya kenal semasa zaman persekolahan dahulu, yang kini berjaya dalam pelbagai bidang,' ujarnya, seorang mahasiswa tahun kedua jurusan undang-undang di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Facebook juga menjadi wadah berkesan bagi mereka yang merantau tetapi mahu berhubungan dengan masyarakat Melayu lain yang berada di negara rantau yang sama. Antaranya ialah kumpulan Melayu Canada.

Kumpulan itu mempunyai anggota masyarakat Melayu asal Singapura dan Malaysia yang sedang bermastautin di Canada - sama ada sedang bekerja atau belajar di sana.

Cik Rahidah Ramli, yang berasal dari Singapura dan kini menetap di Toronto, adalah antara pentadbir kumpulan Facebook itu.

Menurutnya, mereka bermula dengan bilangan anggota yang kecil.

'Saya dan suami rajin menganjurkan pelbagai kegiatan untuk orang Melayu di sini (Canada) - daripada berkelah, memetik buah hingga majlis iftar dalam bulan Ramadan,' kata suri rumah sepenuh masa itu, melalui mesejnya di Facebook.

Cik Rahidah berkata, anggota kumpulan itu sering berbincang tentang kegiatan-kegiatan yang ingin dianjurkan.

Kegiatan terbaru kumpulan itu ialah bermain ski di Chicopee, Ontario, 31 Januari lalu.

Nota: Penulis pernah bertugas di Berita Harian sebagai pelatih



 
   
   
 

SINGAPURA

 
 
Samsung dipilih bina terminal cecair gas asli bernilai $1.5b
 
 
Husin Saaban, Alias Kadir bukan pelawak terbabit
 
 
Akhbar khas untuk pelajar dilancar
 
 
Masagos puji usaha 'Berita Harian'
 
 
Jenayah semakin berkurangan, termasuk kes serius
 
 
NSP lantik ketua baru, rancang tanding di GRC Tampines, Jalan Besar dan Jurong
 
 
Lori terbabas masuk longkang
 
 
Duta kesihatan tiga generasi
 
 
Peraduan bagi cungkil bakat hafiz Al-Quran