MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

12 Jan 2009

SINGAPURA

PELAJAR MELAYU LEMAH MATEMATIK DAN SAINS
Yaacob: Bukan kerana program badan Melayu kurang berkesan

Oleh
Azahar Mohd

KELEMAHAN pelajar Melayu dalam Matematik dan Sains di peringkat Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) bukan disebabkan kurangnya keberkesanan badan-badan Melayu dalam membantu mereka, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Masalah sebenarnya ialah jangkauan perlu diluaskan bagi membantu lebih ramai pelajar, terutama daripada keluarga berpendapatan rendah, agar mereka mengikuti pelbagai program bantuan yang ditawarkan badan Melayu, termasuk Yayasan Mendaki.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah badan Melayu kurang berkesan dalam membantu pelajar Melayu meningkatkan prestasi dalam Matematik dan Sains, semasa sesi dialog bersama penduduk sempena lawatannya ke kawasan Punggol East semalam.

'Persoalan adakah program kita (Mendaki dan badan Melayu lain) berkesan adalah soalan tepat. Dalam hal ini, kita perlu berhati-hati. Apabila kita bercakap mengenai program bantuan, ia sebenarnya persoalan mengenai usaha mendekati pelajar.

'Selepas saya mengambil alih Mendaki, kita amat fokus dan khusus dalam menangani dua cabaran ini (Sains dan Matematik). Baru-baru ini kita telah mengeluarkan laporan menerusi Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) mengenai pelbagai program yang telah dijalankan, yang menunjukkan pelajar kita mencapai keputusan yang baik.

'Program seperti Maju Minda Matematik dan pelbagai program lain yang disasarkan untuk meningkatkan paras kelulusan Sains dan Matematik di PSLE menunjukkan keberkesanannya,' kata Dr Yaacob.

Kad laporan Kementerian Pendidikan (MOE) yang membutirkan kelakonan pelajar pelbagai kaum menunjukkan pelajar Melayu yang lulus Matematik di peringkat PSLE merosot kepada 56.8 peratus, antara yang terendah sepanjang dalam tempoh lima tahun lalu dan kedua terendah dalam tempoh 10 tahun.

Pelajar Melayu yang lulus Sains di peringkat PSLE pula merosot kepada 73.6 peratus, terendah dalam tempoh 10 tahun.

Dr Yaacob berkata cabaran sekarang ialah meningkatkan penyertaan pelajar Melayu daripada golongan berpendapatan rendah dalam program bantuan yang ditawarkan Mendaki dan badan Melayu lain.

'Mendaki kini sedang melihat dengan mendalam cara menarik lebih ramai pelajar untuk mengikuti program kami.

'Selain daripada itu kita juga mengambil pendekatan inovatif, termasuk memanfaatkan kepakaran syarikat swasta tahun lalu untuk melihat bolehkah mereka membaiki lagi keputusan peperiksaan berbanding yang telah kita lakukan. Keputusannya belum diperolehi, tetapi kita akan menganalisisnya,' ujarnya.

Dr Yaacob mengajak masyarakat, termasuk ibu bapa, sama-sama berganding bahu untuk menangani kelemahan itu. Pihak media, televisyen dan lain-lain, boleh mempromosikan Matematik dan Sains sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan sesuatu yang boleh digalak, kata Dr Yaacob.

Ibu bapa pula boleh memainkan peranan membudayakan cinta terhadap Sains dan Matematik dalam diri anak-anak, seperti yang dilakukan kaum lain.

'Sama ada kita suka atau tidak, mata pelajaran Sains dan Matematik perlu banyak latihan. Lihat sahaja masyarakat Cina, mereka berlatih dan berlatih semula kerana Matematik perlu dikuasai. Selain itu, kita perlu memastikan sumber mencukupi dapat diagih kepada keluarga berpendapatan rendah agar mereka boleh sama-sama maju,' ujar Dr Yaacob.

Dalam sesi dialog itu, Dr Yaacob turut ditanya mengenai prospek ekonomi Singapura. Beliau berkata sukar meramalkan bila ekonomi Singapura akan pulih, namun Pemerintah akan berusaha membantu rakyat dengan sebaik-baiknya menerusi Belanjawan yang akan dibentang pada 22 Januari.

Semasa lawatan tiga jam itu, Dr Yaacob antara lain turut mengunjungi rumah terbuka Kelab Masyarakat River Vale dan River Vale Plaza untuk bermesra dengan penduduk di sana.


 
   
   
 

SINGAPURA

 
 
Samsung dipilih bina terminal cecair gas asli bernilai $1.5b
 
 
Husin Saaban, Alias Kadir bukan pelawak terbabit
 
 
Akhbar khas untuk pelajar dilancar
 
 
Masagos puji usaha 'Berita Harian'
 
 
Jenayah semakin berkurangan, termasuk kes serius
 
 
NSP lantik ketua baru, rancang tanding di GRC Tampines, Jalan Besar dan Jurong
 
 
Lori terbabas masuk longkang
 
 
Duta kesihatan tiga generasi
 
 
Peraduan bagi cungkil bakat hafiz Al-Quran