MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

6 Jan 2009

SINGAPURA

MM Lee tekankan peri penting saluran bukan akademik

Oleh
Shamsul Jangarodin

SINGAPURA perlu mempelbagai ekonominya dengan menyediakan bermacam saluran bukan akademik agar ekonominya dapat dipadankan dengan kekuatan dan profil individu setiap pelajar.

Ini kerana dalam ekonomi berdasarkan pasaran, seseorang boleh menggunakan bakatnya dalam banyak bidang, tanpa perlu ke aliran akademik, dan masih mampu menyara kehidupan baik.

Demikian dinyatakan Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, di akhir lawatan rasminya ke Politeknik Nanyang (NYP) semalam.

Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan dalam hidup tidak bergantung sepenuhnya pada prestasi cemerlang dalam peperiksaan.

'Ada sesetengah orang pandai menggunakan tangan mereka. Ada sesetengah pula pandai menghurai masalah. Ekonomi perlukan orang-orang berbakat ini,' ujar Encik Lee.

Ditanya tentang universiti keempat Singapura, Encik Lee berkata ia hanya boleh berkembang untuk menambah sedikit kepelbagaian pada bidang akademik.

'Saya fikir, untuk kali ini, kita perlu tumpukan perhatian pada pelajar yang tidak begitu berjaya di universiti tapi boleh berjaya dalam hidup,' kata beliau.

Kunjungan Encik Lee ke NYP adalah lawatan rasmi ketiganya ke politeknik. Beliau melawat Politeknik Singapura (SP) pada 5 Januari 1972 dan 7 Julai 1979.

Encik Lee dibawa melihat pelbagai projek yang dihasilkan pelajar dan kakitangan NYP di Studio Animasi dan Studio Pembangunan Permainan Komputer di Sekolah Media Interaktif dan Digital.

Beliau dibawa juga Pengarah Kanan Sekolah Kejuruteraan (Elektronik), Encik Chan Yew Meng, ke Dewan Inovasi, Makmal Masyarakat Teknologi Terukir dan Pertunjukan Robotiks di Sekolah Kejuruteraan untuk melihat projek kejuruteraan yang dihasilkan NYP dengan kerjasama pelbagai agensi pemerintah dan syarikat swasta.

Semasa berinteraksi dengan pelajar, Encik Lee sering memuji akan kebolehan mereka dan memberi kata-kata perangsang. Beliau menekankan juga penting mereka mendapatkan pengalaman menerusi latihan praktikal yang disediakan politeknik itu.

Antara projek yang dilihat Encik Lee adalah filem animasi, simulasi perlumbaan kereta Formula Satu dan pertunjukan bola sepak robotik.

Salah seorang pelajar yang berpeluang menunjukkan filem animasi pendeknya kepada Encik Lee ialah Cik Syarah Li Ping Mahmood, 19 tahun.

Filem bertajuk Story of I itu dihasilkan pelajar Diploma Rekaan Media Digital itu bersama enam pelajar lain.

Ia tentang seorang kanak-kanak perempuan yang mencari identitinya.

Menurut Cik Syarah, ketua kumpulan projeknya, beliau bercadang menyertakan filem itu ke pertandingan dan festival filem tempatan serta antarabangsa apabila ia siap dalam masa sebulan setengah kelak.

Ditanya tentang perasaan bertemu Encik Lee, Cik Syarah, yang bercita-cita bekerja dalam industri animasi setelah tamat pengajian dalam beberapa bulan ini, berkata:

'Ini satu penghargaan bagi saya. Ia juga merupakan peluang baik bagi saya menunjukkan hasil projek saya kepadanya.'

Encik Lee mengakhiri lawatan dua jam setengahnya dengan mengadakan sesi dialog bersama 10 pelajar NYP.

Semasa sesi itu beliau, antara lain, bertanya tentang rancangan masa depan mereka.




 
   
 

SINGAPURA

 
 
Pengetua sekolah disiasat langgani pelacur
 
 
B. Melayu: Pakej asah kemahiran interaksi lisan murid sekolah rendah diperkenal
 
 
SOLAT
 
 
Yuran tuisyen NUS, NTU dan SMU naik tahun ini
 
 
Skim Pengikitrafan Asatizah disemak
 
 
Pentafsir disaran guna kaedah tajdid 'segarkan' pengetahuan Al-Quran
 
 
'Kami mohon izin'