Mudah cetak
E-mel
1 Okt 2008
SINGAPURA
SYAWAL KALI INI LEBIH CERIA
Ada harapan, raiyan akan jalani pembedahan
Oleh
Nadzri Eunos
SYAWAL tahun ini tampak lebih ceria daripada tahun lalu bagi Mohammad Raiyan Shafiq sekeluarga.
Ketibaannya membawa seribu harapan kepada kanak-kanak berusia tiga tahun itu yang hanya mempunyai satu impian - untuk berlari riang seperti kanak-kanak lain sebayanya.
Harapan itu menebal dengan jatuhnya Hari Kanak-Kanak pada 1 Syawal.
Namun, pautan harapan itu tidak mungkin wujud tanpa belas ihsan masyarakat, juga sekumpulan doktor pakar.
'Ketibaan Syawal tahun ini lebih bermakna bagi saya sekeluarga.
'Tahun lalu hidup kami tak tentu arah sebab kami tak tahu sama ada Raiyan akan pulih atau akan hidup terlantar.
'Alhamdulillah, kini kami boleh bergantung harap bahawa dia ada harapan untuk pulih,' kata ibu Raiyan, Cik Julaidah Sutarman, 26 tahun.
Penderitaan Raiyan bermula selepas dia dijangkiti virus EV71 yang menyebabkan sejenis penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang serius pada 2006 semasa berusia setahun.
Jangkitan itu merosakkan bahagian otaknya yang mengawal sistem pernafasan, keupayaan menelan, penghadaman, gerakan mata dan degupan jantung. Doktor-doktor yang merawatnya sebelum ini berkata hanya satu keajaiban sahaja yang dapat memulihkannya.
Sejauh ini orang ramai telah menyumbangkan lebih $80,000 bagi kos rawatan Raiyan dan akan disalurkan ke sebuah dana amanah bagi rawatan Raiyan.
Dana terkumpul itu melebihi taksiran rawatan awal yang diberikan pakar bedah saraf, Dr Prem Pillay, iaitu antara $50,000 dengan $75,000.
Pasukan Dr Prem telah menawarkan khidmatnya merawat Raiyan secara percuma dan dana terkumpul itu adalah bagi peralatan yang diperlukan bagi pembedahan yang bakal dijalankan.
Bagaimanapun, ia hanya dapat dijalankan dalam masa antara tiga dengan enam bulan akan datang bagi membolehkan peralatan yang bakal digunakan diluluskan oleh pihak berkuasa.
'Kami harap orang ramai yang telah membantu, faham kerana kami tak mahu mereka bersangka buruk kerana pembedahan telah beberapa kali ditunda,' rayu nenek Raiyan, Cik Rasidah Jaffar, 54 tahun.
Menurut Cik Julaidah, persiapan raya keluarganya tahun ini sederhana sahaja.
'Misalnya, kami tak payah beli baju kurung untuk Raiyan kerana sudah dihadiahkan orang. Tahun ini dia dan kakaknya pakai baju sepasang, warna hijau muda.
'Kami juga putuskan tak akan bawa Raiyan jalan Raya sebab daripada pengalaman tahun lalu, dia kurang selesa bila kat rumah orang, lagi pun kita terpaksa pajak teksi MPV untuk bawa peralatannya seperti alat pernafasan.
'Sebaliknya, tahun ini kami sekeluarga akan keluar beraya ke rumah saudara mara secara bergilir-gilir. Bagi sesiapa yang ingin berkunjung jangan lupa telefon dulu ya,' kata Cik Julaidah, kini mampu tersenyum.
Tambahnya:
'Saya sekeluarga ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menghulur sumbangan.
'Tuhan sahaja yang dapat membalas. Oleh kerana sumbangan mereka, Aidilfitri kami tahun ini lebih ceria!'