MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

6 Ogos 2008

SINGAPURA

Haron Abdulmajid tenat di hospital

Doktor sahkan penyajak dan penulis seni kata lagu mapan hidap barah otak dan barah usus

Oleh
Kamali Hudi

PENYAJAK dan penulis seni kata lagu mapan tanah air, Encik Haron Abdulmajid, dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) malam kelmarin kerana mengalami pendarahan otak.

Doktor mengesahkan Encik Haron, 58 tahun, yang kini berada dalam keadaan kritikal sebagai menghidapi barah otak dan barah usus.

Keadaan penulis lirik itu hanya diketahui setelah beberapa rakannya daripada syarikat Studio Rakaman Aliff Productions & Musicwork mengunjungi beliau di rumahnya di Marsiling Crescent, malam itu.

Mereka membuat kunjungan tersebut selepas tidak menerima jawapan balas setelah berulang kali cuba menghubunginya, baik menerusi telefon mahupun lewat pesanan ringkas (SMS).

Menurut Haji Nashir Haji Yusop dan Haji Mustaffa Yaakub - keduaduanya rakan yang mengunjunginya malam itu - 'keadaan Haron amat membimbangkan'.

Menurut Haji Nashir, rakannya itu tidak boleh bangkit daripada baringan di atas katilnya dan perlu dibantu.

'Malah, kedua-dua belah kakinya agak lemah untuk bergerak.

'Lebih sedih lagi, Haron sudah mula lupa-lupa nama kawan dan sedikit terjejas daya ingatannya,' ujarnya hiba.

Encik Haron, yang telah berumah tangga, banyak menghasilkan lirik bagi lagu-lagu popular dendangan antaranya kumpulan Black Dog Bone, kumpulan nasyid Al-Mizan, Jatt, Rina Rahman dan Sharifah Aini.

Antara lirik lagunya yang popular termasuklah Geram, Khayalan, Tangan Ku Hulur Maaf Ku Pohon dan Merpati Putih.

Pada Mei lalu, beliau telah menerima anugerah Lagu Pop Melayu Tempatan Terbaik daripada Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass) bagi lirik tulisannya Dari Jauh Ku Pohon Maaf dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Menurut Compass, lagu yang sehingga kini diminati ramai sempena menyambut Syawal itu telah menerima royalti tertinggi bagi sebuah gubahan lagu Melayu tempatan.

Haji Mustaffa Yaakub berharap masyarakat mendoakan rakannya itu.

'Saya mohon agar kita mendoakan semoga beliau cepat sembuh dan dapat menjalankan kegiatannya seperti sediakala,' ujarnya sambil menahan sebak.




 
   
 

SINGAPURA

 
 
Pengetua sekolah disiasat langgani pelacur
 
 
B. Melayu: Pakej asah kemahiran interaksi lisan murid sekolah rendah diperkenal
 
 
SOLAT
 
 
Yuran tuisyen NUS, NTU dan SMU naik tahun ini
 
 
Skim Pengikitrafan Asatizah disemak
 
 
Pentafsir disaran guna kaedah tajdid 'segarkan' pengetahuan Al-Quran
 
 
'Kami mohon izin'