Mudah cetak
E-mel
21 Jul 2008
SINGAPURA
S'pura disyor kaji semula terminal kos rendah
SINGAPURA harus mengkaji semula terminal bajet yang dimiliki agar ia lebih menarik bagi syarikat penerbangan tambang murah, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Tony Fernandes.
'Bayaran yang dikenakan di terminal bajet tidak cukup menarik untuk kami beroperasi dari sana, jadi lebih baik untuk kami (AirAsia) terus beroperasi di Terminal Satu (Lapangan Terbang Antarabangsa Changi),' kata Datuk Fernandes, ketika dalam wawancara bersama Ekoniaga baru-baru ini.
Ini, tambahnya, merupakan antara perkara yang harus difahami Singapura dan pemerintahnya.
'Pasaran penerbangan tambang rendah adalah besar dan amat penting.
'AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar (di Asia Tenggara) masih beroperasi di Terminal Satu (Lapangan Terbang Antarabangsa Changi), manakala di tempat lain, kami sibuk bersuara untuk lapangan terbang bajet,' jelasnya lagi.
Buat masa ini, hanya dua syarikat penerbangan beroperasi dari Terminal Bajet di Changi iaitu Tiger Airways dan Cebu Pacific.
Dalam pada itu, Datuk Fernandes juga berkata pihaknya berminat untuk menggunakan Singapura sebagai pangkalan.
AirAsia telah menubuhkan AirAsia Indonesia dan AirAsia Thailand.
'Kami memang ingin membuka syarikat penerbangan di Singapura, tetapi kami tidak mendapat lesen... dan saya rasa kami tidak akan mendapat lesen,' katanya sambil tertawa.
Menyentuh penerbangan dari Singapura ke Malaysia, Datuk Fernandes berkata beliau berharap untuk mendapat kelulusan bagi laluan baru antara Singapura dengan Malaysia sebelum Oktober ini.
AirAsia sedang berbincang dengan pihak-pihak berkuasa di sini dan Malaysia untuk memperkenalkan khidmat antara Singapura dengan Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Langkawi dan Kuching.
Akhir tahun lalu, syarikat penerbangan tambang murah telah dibenarkan mengendalikan khidmat penerbangan antara Singapura dengan Kuala Lumpur setelah enam tahun AirAsia cuba mendapatkan kelulusan tersebut.
Khidmat tersebut mula dibenarkan Februari lalu. Langkah tersebut turut mengakhiri monopoli antara Malaysian Airlines dan Singapore Airlines.
AirAsia terbang dari Singapura ke Kuala Lumpur dua kali sehari.
Datuk Fernandes berkata sambutan yang diterima amat baik, dengan jumlah penumpang mencapai sekitar 92 peratus.
Apabila laluan tersebut dibebaskan sepenuhnya Disember ini, beliau merancang menambah dua lagi penerbangan ulang-alik.
Mei lalu, kerajaan Malaysia berkata ia mungkin membenarkan lebih banyak syarikat penerbangan terbang dari Singapura ke bandar-bandar lain di Malaysia selain Kuala Lumpur mulai tahun depan.
'Saya rasa ia kelihatan baik, dan saya berharap kami mendapat (kelulusan) sebelum Oktober, mana-mana sahaja laluan yang saya boleh dapat.
'Kami sedang berbincang, saya rasa ia agak positif... tetapi saya tidak mahu memberi kata putus sebelum mendapat kepastian,' kata Datuk Fernandes lagi.