Mudah cetak
E-mel
21 Jul 2008
SINGAPURA
Koperatif Muslim Australia mahu eksport daging halal ke sini
Oleh
Adli Yashir Kuchit
SEBUAH koperatif Melayu/Islam di Australia mahu mengeksport daging halal dan kambing bagi ibadah korban ke sini dan sedang mengkaji peraturan yang perlu dipatuhi.
Koperatif Masyarakat Melayu Victoria (MCVC) itu telah mengenal pasti beberapa wakil di Singapura yang boleh menyelaras rancangannya.
Pengerusi koperatif itu, Haji Salem Salikin, 57 tahun, berkata jika projek itu berhasil ia boleh meningkatkan pendapatan koperatif tersebut.
'Kami sedang berbincang dengan beberapa rakan niaga di Singapura sebelum membuat pelantikan,' katanya ketika dihubungi semalam.
Ditubuhkan Ogos tahun lalu, koperatif itu sayap perniagaan Persatuan Khairat Melayu Islam Victoria, yang menawarkan pelbagai khidmat, seperti kelas agama dan pengurusan jenazah.
September lalu, ia dilantik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai badan pengiktiraf pensijilan halal di Australia, yang bermakna ia boleh mengeluarkan sijil halal, termasuk kepada MCVC.
Menurut Haji Salem lagi, matlamat utama koperatif itu ialah mengembangkan potensi ekonomi penduduk Melayu/Islam di bandar Melbourne.
'Ramai penduduk Melayu di Melbourne menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Dengan adanya koperatif ini, kami dapat saling bantu dan meningkatkan pendapatan keluarga Melayu,' katanya.
Koperatif itu mempunyai 42 anggota.
Pelaburan minimum dalam koperatif itu adalah A$1,142 ($1,494), dengan pulangan dividen kepada anggota 18 peratus setahun. Dividen diagih setiap enam bulan.
Sejauh ini, ia telah melabur sekitar A$380,000 dalam perniagaan penternakan dan mengeksport kambing.
Menurut Haji Salem, koperatif itu bekerjasama dengan ladang ternakan Downes Rural Exports di Downs, Victoria (300 kilometer dari bandar Melbourne), bagi menternak kambing untuk dieksport.
Selain Singapura, MCVC mempunyai rancangan untuk mengeksport kambing ke Malaysia.
Koperatif itu menawarkan juga khidmat pembersihan pejabat di Melbourne.
'Khidmat pembersihan turut membuka peluang pekerjaan bagi penduduk dan pelajar Melayu/Islam di Melbourne,' kata Haji Salem.
Antara rancangan jangka panjang koperatif itu adalah menceburi khidmat katering halal dan pengeluaran produk halal.