Mudah cetak
E-mel
9 Jul 2008
SINGAPURA
9 guru Melayu/Islam cemerlang
Raih 11 pingat emas dan hadiah buku kerana muncul sebagai pelajar terbaik
Oleh
Nadzri Eunos
SERAMAI sembilan guru muda Melayu/Islam memahat nama mereka dalam lembaran kecemerlangan Institut Pendidikan Nasional (NIE) dengan merangkul 11 pingat emas dan hadiah buku kerana muncul sebagai antara pelajar terbaik kursus ijazah Sarjana Muda dan Diploma Pendidikan.
Pencapaian itu lebih membanggakan kerana guru-guru itu cemerlang dalam bidang selain Bahasa Melayu.
Ini termasuk jurusan Fizik, Matematik, Biologi, Bahasa Inggeris, Geografi dan Kesenian.
Difahamkan bahawa ia merupakan jumlah pelajar terbaik Melayu/Islam yang teramai sejauh ini.
Pelajar paling terserlah di peringkat Sarjana Muda Sains ialah Cik Sri Yanti Zainal Abidin, 22 tahun.
Beliau meraih kepujian kelas pertama di samping pingat emas IPS sebagai pelajar terbaik jurusan fizik.
Dua yang lain memenangi dua hadiah perhargaan setiap seorang.
Siswazah ijazah Sarjana Muda Sains, Cik Ameerah Sharainee Zain Sha Aril Zain, 21 tahun, memenangi hadiah buku Lembaga Kemajuan Ekonomi dan Institut Biologi Singapura kerana cemerlang dalam jurusan Biologi.
Pelajar peringkat Diploma Pendidikan, Encik Muhammad Irwan Jamal, 26 tahun, pula meraih pingat emas Ulang Tahun ke-75 International Rotary bagi daya kepimpinan dan dedikasinya kepada kegiatan kemasyarakatan, di samping hadiah buku Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura sebagai pelajar terbaik.
Cik Khadijah Ab Samat meraih pingat emas Ulang Tahun ke-75 International Rotary (kepujian kelas kedua atas) dan Cik Nur Fadelinah Yusof, 29 tahun, mendapat hadiah buku Syarikat Kerjasama Guru-Guru Melayu Singapura (kepujian kelas kedua atas).
Pelajar terbaik peringkat Diploma Pendidikan ialah Cik Suhaili Nasir, pingat emas British Council (Pendidikan Bahasa Inggeris); Cik Nur Annisa Zolkipli, hadiah Peringatan Wong Hee Hua (Pendidikan Matematik); dan Encik Mohamad Afiq Abdullah (Pendidikan Kesenian).
Lulusan Diploma Lanjutan, Cik Suriani Amran, pula memenangi hadiah buku Persatuan Guru-Guru Geografi Singapura bagi Pendidikan Geografi.
Kumpulan pertama seramai 1,672 guru baru itu menerima ijazah dan diploma mereka sempena Upacara Pelantikan NIE 2008 yang berlangsung selama tiga hari, mulai semalam.
Ketika ditemui semalam, guru-guru terbaik itu akur minat dalam sesuatu subjek telah mendorong mereka untuk cemerlang.
Cik Sri Yanti, yang kini mengajar di Sekolah Rendah Chong Fu, berkata:
'Saya harap dapat mengongsi minat saya terhadap bidang sains kepada murid-murid saya di sekolah menerusi kaedah pembelajaran melalui pengalaman dengan memanfaatkan Internet dan melakukan eksperimen.'