SEORANG anggota Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa, Pegawai Kadet Pelatih (OCT) Lam Jia Hao Clifton, 20 tahun, meninggal dunia kelmarin ketika menjalani latihan orientasi hutan di Brunei.
Menurut Kementerian Pertahanan (Mindef), OCT Lam merupakan seorang pelatih juruterbang bersama Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).
Mendiang rebah sekitar 5.45 petang kelmarin dan diberi rawatan kecemasan oleh seorang doktor dan pegawai medik kanan.
OCT Lam kemudian dibawa sebuah helikopter Super Puma ke Hospital Ripas pada 6.32 petang dan tiba 10 minit kemudian.
Semasa dalam perjalanan, doktor dan medik kanan itu berusaha terus untuk menyedarkannya tetapi OCT Lam disahkan meninggal dunia pada 7.20 malam di hospital tersebut.
Siasatan atas kejadian itu masih dijalankan, ujar Mindef.
Ini merupakan kes kematian kedua minggu ini melibatkan anggota NS.
Selasa lalu, Rekrut Andrew Cheah Wei Siong, 20 tahun, meninggal dunia setelah jatuh pengsan semasa menjalani latihan di Pulau Tekong.
Menyusuli dua kejadian itu, Mindef menghentikan semua latihan jasmani dan daya ketahanan selama tiga hari sehingga Sabtu ini untuk membolehkan satu penilaian menyeluruh dilakukan.
Menteri Pertahanan, Encik Teo Chee Hean, melahirkan takziahnya kepada keluarga mendiang Rekrut Andrew Cheah dan mendiang OCT Lam.
'Saya sedih di atas kehilangan dua anak Singapura yang muda dan berharga. Saya menyokong keputusan SAF untuk menghentikan latihan fizikal dan daya ketahanan selama tiga hari.
'Ini membolehkan SAF menyemak dan menumpukan semula perhatian kepada kegiatan sedemikian demi memastikan adanya prosedur betul yang dipatuhi sebelum latihan serupa itu disambung,' ujarnya.