Mudah cetak
E-mel
2 Apr 2008
SINGAPURA
MM Lee: Singapura boleh kerjasama dengan Russia dalam teknologi tinggi
Oleh
Norhaiza Hashim
KEJAYAAN pemerintah Singapura membuka taman perindustrian di Suzhou, China, tidak dapat ditiru di Russia dengan mudah.
Ini kerana perbezaan budaya dan bahasa yang menyukarkan pertukaran kepakaran antara Russia dengan Singapura, menurut Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew.
'Kita tidak boleh lakukan apa yang kita laksanakan di Suzhou kepada Russia. Ia lebih sukar mengalih kepakaran kerana perbezaan bahasa. Kita mempunyai sekitar 100 pegawai Russia yang belajar di sini. Ia boleh dilakukan tetapi memakan masa,' kata MM Lee ketika berucap di Forum Perniagaan Singapura-Russia di Konvensyen Raffles City semalam.
Namun, MM Lee melihat potensi tinggi bagi kedua-dua pihak berusaha sama terutama dalam bidang teknologi tinggi.
'Russia mempunyai ramai saintis dan penyelidik. Singapura pula menceburi bidang teknologi tinggi seperti sains hayat dan teknologi air. Kami menarik ramai saintis antarabangsa untuk menjalankan kajian di Singapura. Menjalankan usaha sama dengan saintis Russia merupakan satu bidang yang amat menarik,' katanya.
Saintis Russia boleh menggunakan Singapura sebagai batu loncatan bagi memasarkan produk ciptaan mereka untuk dipasarkan di seluruh dunia, tambahnya.
Walaupun Russia mempunyai ramai saintis, MM Lee berpendapat Amerika Syarikat masih menjadi negara yang akan mencipta banyak penerokaan baru dalam 40 hingga 50 tahun mendatang kerana berjaya menarik 'ramai pakar dari negara-negara di dunia seperti Eropah, Russia, India dan China'.
'Saya pernah bertanyakan seorang mantan ketua bank, apa yang akan beliau lakukan selepas bersara. Beliau berkata beliau akan ke universiti di Britain untuk menarik bakat-bakat terbaik ke Universiti Yale di Amerika. Begitulah betapa kuatnya mereka dalam menarik bakat-bakat terbaik ke Amerika,' jelas MM Lee.
Ditanya pendapatnya mengenai peranan mantan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, selepas Encik Dmitry Medvedev mengambil alih, MM Lee berkata peranan penting seorang pemimpin yang berjaya ialah memastikan peralihan kuasa yang berhasil.
Beliau berkata jika peralihan tidak dijalankan dengan betul, segala apa yang sudah dicapai menjadi tidak teratur.
'Saya amat sedih apabila mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau telah memilih pengganti yang salah dan beliau (Dr Mahathir) berkata beliau telah membuat satu kesilapan,' tambahnya.