Mudah cetak
E-mel
26 Mac 2008
SINGAPURA
Harga saham Asia menjulang
Didorong berita kenaikan penjualan rumah
di Amerika Syarikat
Oleh
Norhaiza Hashim
PASARAN saham di Asia semalam meningkat tinggi, didorong berita baik penjualan rumah di Amerika Syarikat yang meningkat, dan langkah JP Morgan Chase & Co menaikkan harga tawaran bagi pembelian bank keempat terbesar di Amerika Syarikat, Bear Stearns Co, yang mengalami kerugian akibat krisis sub-prima di sana, menurut para dealer.
Indeks Straits Times (STI) di Singapura meningkat 2.47 peratus atau 72.40 kepada 3,000.19 mata, melepasi paras 3,000 mata sejak Januari lalu. Sebanyak 2.33 bilion saham bernilai $2.58 bilion bertukar tangan semalam.
Mendahului kenaikan di pasaran saham Asia ialah Indeks Hang Seng di Hongkong yang menjulang 6.4 peratus, kenaikan tertinggi sejak dua bulan. Harga saham di Malaysia juga meningkat 2.4 peratus.
Harga saham di Wall Street menjulang selepas JP Morgan bersetuju meningkatkan harga pembelian Bear Stearns kepada AS$10 ($13.8) sesaham, daripada tawaran awal sebanyak AS$2.
Sebelum ini, ramai pemegang saham Bear Stearns melahirkan rasa terkejut dengan tawaran AS$2 sesaham yang dianggap terlalu rendah bagi membeli bank keempat terbesar di Amerika Syarikat itu.
Harga saham di Wall Street turut naik setelah bilangan penjualan rumah di Amerika Syarikat meningkat 2.9 peratus bulan lalu, satu kejutan memandangkan ia telah merosot selama enam bulan berturut-turut.
'Peningkatan penjualan rumah di Amerika menunjukkan terdapat peralihan ke sentimen lebih optimistik dan bukannya semua berita yang disiarkan merupakan berita buruk,' menurut Ketua Kajian CIMB-GK, Encik Song Seng Wun.
Ketua Kajian AmFrasers Securities, Encik Najeeb Jarhom, berkata STI mampu mengecapi pemulihan lagi bulan depan.
'Walaupun untuk mencecah 3,150 hingga 3,450 seperti yang dicapai pada awal Januari agak sukar, STI boleh menikmati pemulihan sederhana sekurang-kurangnya ke paras 3,026 yang dikecapi akhir Februari lalu pada bulan depan,' katanya.
Antara kaunter saham yang menunjukkan peningkatan ialah saham bank dan hartanah.
Harga saham DBS Bank naik 44 sen kepada $18.44, manakala harga saham CapitaLand meningkat 20 sen kepada $6.30.
Harga saham-saham mewah seperti Singapore Telecommunications Ltd (SingTel) meningkat 8 sen lebih tinggi kepada $4.01, manakala harga saham Singapore Press Holdings (SPH) susut 4 sen kepada $4.52.