Mudah cetak
E-mel
23 Nov 2004
EKSTRA!
Pakai boria walau baru boyfriend-girlfriend
ADA yang rimas melihatnya. Ada pula yang terpegun sampai tertanya-tanya.
Dah lama benar saya lihat trend ni. Jangan katakan keluarga yang sibuk pakai baju kurung sepasang, secorak dan sewarna.
Mereka yang belum berumah tangga tetapi asyik dibuai asmara pun ghairah berbaju 'boria'. Konon, tanda dah steady-lah, tu!
Apabila saya cuba menyelongkar trend ini, ramai yang elak-elak dan enggan bergambar. Malu ke atau takut mak marah? He... heh.
Tetapi apabila dipujuk, mereka berkata baju sewarna itu adalah tanda mereka sehati sejiwa.
Ada pula yang kata mereka setakat nak tunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap pasangan masing-masing. Lantas itu, ia dilafazkan dengan kesepakatan beruniform semasa Raya!
Irma Raman, 18 tahun, dan teman lelakinya, Qairul Rahman, 20 tahun, sepakat mengenakan sepasang kurung biru pada Lebaran tahun lalu. Sebabnya, baju tersebut merupakan warna kegemaran.
'Lebih-lebih lagi, tahun lalu, pertama kali kami menyambut Raya sebagai pasangan kekasih. Jadi, kami ingin abadikan memori istimewa ini.
'Sebelum itu, kami sempat meronda bazar untuk mencari baju sepasang yang dijual dengan harga berpatutan.
'Berpakaian boria begini membuat kami rasa istimewa. Lebih-lebih lagi, apabila berjalan bersama teman-teman dalam sebuah kumpulan, orang akan tahu kami ini pasangan sehati sejiwa. Kirakan setiap pasangan ada kod warna masing-masing,' ujar Irma, pelajar Politeknik Ngee Ann.
Qairul, anggota Perkhidmatan Negara (NS), pula malu-malu memberi komen.
'Pertama kali pakai sepasang, macam kekok dan kelakar pula. Sebab orang ramai tengok dan tenung-tenung. Tetapi, yang penting sekali, ia merupakan pengalaman yang istimewa bagi kami berdua.
'Cuma tahun ini, kami tak berkesempatan mengenakan baju sepasang sebab kesuntukan masa kerana tuntutan tugas dan tugasan sekolah,' katanya.
Dalam pada itu, ada juga remaja yang merasakan mengenakan baju kurung sepasang dengan 'si dia' suatu trend yang 'kental'.
Mohd Fadzly Rahmat, 25 tahun, seorang pegawai polis, berkata:
'Sesetengahnya nak tunjukkan mereka milik satu sama lain. Kononnya terjalin kemesraan. Tapi, saya tak sokong faktor ini sebab yang penting ialah hati dan perasaan masing-masing.
'Bukankah ada cara lain untuk melahirkan rasa cinta?'
Nor Raida Mohd Noor, 21 tahun, pula menambah:
'Usahlah tunjuk-tunjuk mereka tu merpati dua sejoli. Lainlah kalau dah confirm berumahtangga.'