Mudah cetak
E-mel
21 Nov 2003
EKSTRA!
Awas! Jangan cuba dekat
DARI gelanggang pertempuran ke dewan pameran.
Inilah peralihan peranan tiga srikandi silat, Cik Hafizah Ani, Cik Rafeah Rashid dan Norainooh Mohd Lin, apabila ditugaskan menjadi 'pengawal keselamatan' di The Foundry, Clarke Quay, esok dan lusa.
Namun, barangan yang perlu dikawal rapi bukanlah intan berlian, sebaliknya kasut-kasut bola keranjang Nike!
Apa yang aneh bagi Ekstra, 135 pasang kasut yang menghiasi pameran kasut bola keranjang sepanjang tiga dekad, 'Pameran 30 Tahun Nike Basketball' ini bukanlah keluaran baru.
Ada di antaranya sudah pun mencecah usia lebih dua dekad. Tapi, usah dipandang dari usianya semata.
Sebab, kebanyakannya 'ada harga' dan mampu mencapai harga yang melambung tinggi.
Sebagai contoh, kasut Air Jordan I yang mula dipasarkan pada 1984.
Usia jenis kasut ini sudah melebihi 20 tahun tetapi kerana ia kini sukar didapati hingga menjadi buruan peminat kasut khususnya pengumpul barangan Nike.
Tinjauan Ekstra menunjukkan sepasang kasut ini boleh mencecah AS$170 ($292) dalam lelaman jual beli Internet.
Ketika ditemui di pejabat Nike, juara Kejohanan Seni Pertahanan Diri All-Style, Cik Hafizah, 19 tahun, yang juga jurulatih sepenuh masa perkumpulan Gerak Silat Olahraga (Grasio), begitu terkejut dengan tugas terbarunya sebab ia lain dari yang lain.
Bagaimanapun, Cik Rafeah, 30-an tahun, jurulatih pasukan silat nasional, menyifatkan tugasnya itu sebagai unik, seiringan dengan kesegaran yang disuntik Nike dalam produk-produknya.
'Tapi jangan salah sangka. Tugas kami bukanlah untuk memukul pencuri atau menunjukkan belang kami semasa pameran ini.
'Kami ni secara simbolik merupakan 'penjaga kasut'. Memandangkan kami ahli sukan dan peminat barangan Nike, maka tugas ini dijalankan dengan rasa senang hati,' ujarnya.
Sungguhpun begitu, jangan pandang remeh kemahiran mereka.
Sebagaimana seloroh Cik Norainooh, 18 tahun, pelajar Komunikasi dan Maklumat, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) MacPherson, dan baru berjinak-jinak dengan silat:
'Jangan cuba-cuba (curi kasut). Siapa yang degil, alamat nantikan pukulan maut kami!'
Ekstra sempat meninjau beberapa pasang kasut yang sebelum ini bertapak di pameran serupa di Paris dan London.
Apakah sejarahnya?
Blazer Leather High: 'Bapa' kasut bola keranjang Nike.
Inilah kasut bola keranjang pertama dihasilkan Nike dalam 1972. Untuk menghasilkan sepatu perintis ini, Nike perlu bekerja rapat dengan pemain bola keranjang.
Orang pertama yang mengenakan Blazer ialah pemain muda terbaik 1971, Geoff Petrie.
Walaupun bentuk kasut ini besar, ia selesa digunakan sebab lengkap dengan pelindung di bahagian pergelangan kaki.
Bruin Suede: Kasut 'panas' berwap
Untuk menghasilkan kasut bertapak silang pangkah dengan cengkaman bermutu ini saja, berpeluh-peluh si pembuatnya.
Kaedah pengeluaran auto clave digunakan di mana tapak kasut dan bahagian atas kasut perlu 'dimasak' bersama di dalam tekanan suhu wap ketuhar raksasa. Kasut ini mula dijual dalam 1973.
Air Revolution: Kasut 'Berangin'
Kasut buatan 1988 ini adalah yang pertama diisi angin. Sebabnya, untuk langkah-langkah perlindungan bagi memastikan si pemakai tidak cedera dengan hentakan kuat dek aksi permainan bola keranjang.
Ia dilengkapi pelbagai bahan baru seperti pelapik dalaman dan tapak berpelapik getah tahan lama dan lasak.