Mudah cetak
E-mel
21 Nov 2003
EKSTRA!
Minat bawa belia ke AS
Oleh
Nurliza Mohd Shah
SEDANG belia Melayu lain ligat menggelecek bola di padang, Muhamad Sufiyan Mohamed Ismail (gambar) pula lebih bersemangat melambung-lambung bola keranjang di gelanggang.
Pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Bishan itu bahkan pernah menjelajah sejauh San Francisco, Amerika, untuk menyertai satu perlawanan bola keranjang 5-A-Side (lima lawan lima), The And 1 Mix Tape Tour, tahun lalu.
Setelah menyertai lebih enam pertandingan, tidak hairanlah jika pemuda berusia 18 tahun itu turut serta dalam peraduan tunjuk bakat gaya bebas mengimbang bola, Nike Freestyle, berbekalkan bola keranjangnya, baru-baru ini.
Sewaktu ditemui di peraduan Nike Freestyle yang berlangsung di Taman Belia Somerset, Muhamad Sufiyan, pelajar bidang teknologi elektronik komputer, berkata:
'Bola keranjang ibarat darah daging saya. Ia merupakan satu kemestian dalam hidup saya. Apa yang membuat saya begitu berminat dengan sukan ini ialah hasil inspirasi dari pemain profesional, Allen Iverson,
'Iverson mempunyai teknik tersendiri dan beliau menunjukkan prestasi yang sangat baik bagi setiap perlawanan. Saya kagum dengan kebolehannya dan berharap dapat menjadi pemain profesional dan terkenal sepertinya.
'Sebab itulah saya sering menyertai apa jua pertandingan bola keranjang yang dianjurkan untuk menguji sejauh mana tahap kelakonan saya. Dari pertandingan ini juga, saya dapat bertukar-tukar tips dan tricks dengan pemain lain.'
Muhamad Sufiyan, yang amat meminati seni rap, juga gigih berlatih lima kali seminggu di Kompleks Sukan Choa Chu Kang.
Untuk memahirkan diri dengan gerakan unik bola keranjang gaya bebas pula, beliau kerap ke studio di Orchard Road di mana setiap aksi dipadankan dengan muzik hip hop.
Kini, sebanyak lapan trick diciptanya sendiri hasil mencedok idea daripada lelaman-lelaman sukan di ruang siber.
'Salah satu darpadanya yang amat saya minati ialah aksi membiarkan bola keranjang itu bergolek di lantai sementara kaki saya pula dihayunkan di atasnya tanpa sedikit pun menyentuh bola itu,' kata anak muda yang meminati pasukan Philadelphia 76ers.
Kini, beliau berharap imej bola keranjang sebagai sukan belia Cina Singapura semata-mata dapat diubah.
Sebabnya, ia merupakan sukan yang menyeronokkan untuk sesiapa saja.