Mudah cetak
E-mel
21 Nov 2003
EKSTRA!
RENUNGAN
Cara terbaik untuk sambut Aidilfitri
Oleh
Mohd Yusop Hassim
SETIAP Muslim sememangnya menanti ketibaan Syawal. Bagi yang benar-benar menghayati akan kelebihan hari yang mulia itu, mereka menyambutnya dengan penuh kesyukuran.
Manakala yang bertanggapan salah pula menyifatkannya sebagai hari lepas bebas daripada kongkongan dan peraturan, maka diraikannya dengan penuh kegembiraan.
Yang menyedihkan, perkara-perkara maksiat turut berlaku di hari yang mulia ini.
Konsep Hari Raya merupakan hari meraikan kejayaan dan mensyukuri nikmat setelah berjaya mengharungi ujian Allah swt untuk keluar sebagai manusia fitrah.
Kalimah aid bermasud kembali dan fitri adalah fitrah - kembali kepada fitrah diri (menjadi suci bersih).
Dalam sepotong hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: 'Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan ketakwaan, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu dan suci bersih seperti hari dia dilahirkan ibunya.'
Justeru itu, Hari Raya adalah hari umat Islam meraikan kejayaan sebab mereka telah kembali suci, bukan hari bebas daripada kongkongan.
Golongan yang menyalahi maksud Aidilfitri sebenar melakukan maksiat dan berfoya-foya pada Hari Raya.
Golongan ini tidak faham tujuan sebenarnya berpuasa iaitu untuk melahirkan manusia bertakwa. Sebaliknya, jika Syawal diraikan dengan melakukan perkara yang ditegah agama, maka ini bermakna ia tidak bertakwa.
Justeru itu, jika terlihat anak bulan, kita diseru bertakbir dan bertasbih sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah swt atas nikmat yang dikurniakan kepada kita.
Bertakbir disunatkan bermula daripada terbenam matahari pada malam Hari Raya hinggalah imam memulakan solat Aidilfitri.
Allah berfirman yang bermaksud: 'Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu supaya kamu bersyukur.' (Al-Baqarah: 185)
Hari Raya adalah hari untuk menyatakan kegembiraan dengan diraikan secara berjemaah agar semuanya dapat mendengar khutbah di hari yang mulia itu.
Hukum solat Aidilfitri adalah sunah muakkad.
Umat Islam juga dituntut membersihkan diri dengan mandi sunat Aidilfitri.
Kita juga disuruh menghias diri pada hari itu untuk melafazkan kegembiraan, saling mengucapkan tahniah dan bermaaf-maafan sebagai mengukuhkan persaudaraan.
Sebelum menunaikan solat Aidilfitri, disunatkan makan sedikit dan pergi ke masjid mengikut jalan lain dan pulang di jalan yang lain agar dapat bertemu ramai orang.
Persiapan menyambut Syawal kerana Hari Raya merupakan satu ibadat yang dilakukan dalam suasana gembira.
Pada Hari Raya kedua disunatkan memulakan puasa enam hari dalam Syawal.
Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: 'Sesiapa yang puasa Ramadan, kemudian diiringi dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, seolah-olah pahalanya seperti ia berpuasa setahun.'
Dalam kita membuat persiapan menyambut Syawal, jangan pula lupa untuk mengeluarkan zakat fitrah sebagai tanda syukur atas nikmat rezeki dan kesihatan yang dikurniakan Allah kepada kita.
Hikmat daripada membayar zakat fitrah sebelum solat Aidilfitri adalah supaya golongan fakir miskin dapat menikmati keseronokan berhari Raya.
Zakat menyucikan harta daripada sesuatu yang bukan milik kita serta membersihkan jiwa daripada sifat bakhil.
Dengan mengeluarkan zakat, ia mendidik seseorang agar bersyukur, simpati, rendah hati dan tawaduk.
Semoga amalan kita diberkati Allah di hari yang mulia ini, insya-Allah.