Mudah cetak
E-mel
21 Nov 2003
EKSTRA!
Terus bersiap untuk ibadah di malam lailatulqadar
Oleh
Sulaiman Jeem
TINGGAL tiga malam saja lagi menjelang Aidilfitri.
Adakah anda sudah meraih lailatulqadar?
Malam ini 27 Ramadan dan lusa 29 Ramadan adalah antara malam-malam ganjil yang disebut-sebut di kalangan ulama sebagai berpotensi menjadi malam lailatulqadar.
Ramai ulama menimbulkan pertanyaan mengapa Allah menawarkan nilai pahala begitu banyak - sepanjang usia kebanyakan para nabi terdahulu?
Peringkat umur para nabi dan rasul sebelum Nabi Muhammad saw?
Allah swt sengaja tidak menetapkan tanggal sebenar malam itu. Terserahlah kepada umat yang bertakwa dan beriltizam untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.
Andai kata telah ditetapkan masa dan tarikhnya, akan mudahlah umat mendapatkannya. Tidak payah lagi 'bersengkang mata' melakukan qiamullail.
Hal ini sama dengan masa yang ditetapkan Allah pada Jumaat untuk menerima doa hambanya. Allah tidak menetapkan masanya. Terserah kepada umat untuk mencarinya sepanjang Jumaat.
Para ulama menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan lailatulqadar itu ialah berjaga malam dengan menghidupkan malam Ramadan dengan beribadat: mendirikan ibadat-ibadat malam, melakukan pelbagai solat sunat, bertadarus, berzikir, beriktikaf di masjid, berdoa dan lain-lain.
Sepotong hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Imam Muslim (ra) yang bermaksud:
'Adalah Rasulullah apabila masuk sepuluh malam terakhir Ramadan, Baginda bangun dan berjaga malam untuk ibadah. Baginda menghidupkan jiwanya (dirinya) dengan tidak tidur, kerana tidur sebenarnya saudara kepada mati'.
Mengenai maksud menghidupkan malam Ramadan, terdapat perbezaan pendapat. Ada yang menghidupkannya sepanjang malam. Ada pula yang mentafsirkannya sebagai sebahagian daripada malam Ramadan.
Abu Ja'afar bin Ali mentafsirkannya sebagai menghidupkan separuh malam. Sayidatina Aisya menyatakan bahawa Nabi saw tidak pernah solat malam hingga ke subuh seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim. Imam Syafie juga memperkuatkan pendapat itu.
Sebahagian ulama tabiin menukil daripada Ibnu Abbas bahawa menghidupkan malam itu dipenuhi dengan solat isyak berjemaah dan bercita-cita melakukan solat subuh juga dengan berjemaah.
Imam Malik dalam Kitab Muwaththa' menyatakan:
'Telah sampai berita kepadaku bahawa Ibnu Musayyab berkata: 'Siapa yang menghadiri solat isyak berjemaah di malam lailatulqadar, sesungguhnya dia telah mengambil bahagian daripada malam itu'.'
Sementara Imam Syafie dalam kitabnya Qaulul Qadim menyatakan: Sesiapa yang bersolat isyak dan subuh pada malam lailatulqadar, sesungguhnya dia telah mengambil sebahagian dari malam itu.
Rasulullah saw bersabda yang diriwayatkan Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi yang bermaksud:
'Pada saat berlakunya lailatulqadar, malam terasa jernih, terang, tenang dan cuaca sejuk dan tidak terasa panas dan tidak juga dingin.
'Dan pada pagi harinya matahari terbit dengan jernih dan terang benderang tanpa tertutup sedikit awan.'
Ketenangan dirasai pada malam itu kerana turunnya pelbagai rahmat dan barakah yang bakal diperolehi para hamba-Nya yang benar-benar menghayati kedatangannya.
Malah ada riwayat lain yang menyatakan bahawa ketenangan malam itu disebabkan malaikat turun ke bumi seperti yang diterangkan dalam Al-Quran (ayat 5 dan 6 surah Al-Qadr bermaksud:
'Turunlah malaikat dan rohnya dengan izin Allah. Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar.'
Bagaimanapun, para ulama berselisih pendapat mengenai tanda kedatangan lailatulqadar. Apakah tanda itu dapat dilihat?
Sebahagian ulama berpendapat ia boleh dilihat dengan tanda-tanda berikut:
Orang yang mendapat malam lailatulqadar itu melihat segala sesuatu yang ada di bumi dan di langit sujud kepada Allah;
Orang yang mendapati malam itu melihat alam terang benderang meskipun di tempat gelap;
Orang yang mendapati malam itu mendengar salam malaikat dan tutur kata mereka;
Orang yang mendapati malam itu diperkenankan segala doanya.
Bukan mudah mendapatkan malam lailatulqadar. Banyak cabaran dan ujianya. Malah, kadangkalah kesibukan dan keseronokan menyiapkan Lebaran membuat orang terlupa kepada kelebihan malam yang lebih istimewa daripada 1,000 bulan itu.