MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

7 Ogos 2011

EKSTRA!

Usah kritik bazar Ramadan

Ia mungkin tidak berkembang sekiranya tiada permintaan daripada masyarakat Melayu/Islam yang ingin barangan baru pada Hari Raya

BAYANGKAN jika tiada bazar Ramadan tahun depan, adakah anda akan merasa kesunyian?

Mungkinkah semangat dan kemeriahan Hari Raya tidak akan terasa tanpa kehadiran bazar Ramadan?

Mungkinkah anda akan 'terkapai-kapai' memikirkan ke mana hendak anda tuju untuk membeli keperluan bulan puasa dan Hari Raya, jika bazar ditiadakan?

Bazar Ramadan memang sudah sebati dengan jiwa sebahagian besar kita sehinggakan setiap Ramadan dinantikan kehadirannya dengan penuh keriangan.

Tidak sangka bazar yang dahulu dikenali sebagai jualan Ramadan dan hanya menjual juadah berbuka puasa, kini telah berubah menjadi tempat menjual pelbagai barang keperluan Hari Raya seperti langsir, kusyen, perabot dan juga jambangan bunga hiasan.

Daripada hanya sebuah tempat di Bussorah Street, bazar Ramadan kini telah 'merebak' dan tumbuh bak cendawan selepas hujan bukan sahaja di Geylang Serai, malah di Woodlands dan kejiranan, termasuk bazar mini di kolong-kolong blok.

'Pembiakan' bazar Ramadan ini mencerminkan betapa rancaknya bisnes bagi mereka yang membuka gerai sepanjang bulan, sehingga ada yang sanggup meninggalkan keluarga di negara asal masing-masing.

Antara pegerai musiman yang sanggup meninggalkan isteri dan dua orang anaknya di Syria ialah Encik Fawaz Al Zaem.

Beliau, yang menjual alas meja keemas-emasan di Kampung Melayu Geylang, menyewa gerai sejak 10 tahun lalu di bazar Geylang Serai semata-mata untuk mencari rezeki di kota Singa ini.

Encik Fawaz ke sini bersama dua lagi rakan niaganya dan menginap di sebuah hotel berdekatan Geylang untuk memudahkan mereka ulang-alik ke gerai setiap hari.

Menurutnya, keuntungan yang diraihnya sekitar 20 peratus selepas menolak kos.

Seorang lagi peniaga yang menjual baju kebaya Indonesia, Cik Sylvia Lim, juga sanggup meninggalkan rumahnya di Jakarta untuk cuba mengaup untung daripada kesibukan bazar Ramadan.

Jika ekonomi baik, Cik Lim berkata beliau dapat meraih keuntungan sehingga 40 peratus.

Menurut kededua peniaga berkenaan, biarpun kos sewa gerai mahal tetapi mereka yakin dapat meraih keuntungan.

Harga untuk menyewa gerai di bazar Geylang Serai adalah antara $1,500 dengan $10,000 bergantung pada saiz dan lokasinya.

Menurut pengurus Wee Brothers Exhibition Organizer, Encik Wee Loo Huat, yang menyewakan gerai-gerai di sekitar kawasan Kampung Melayu Geylang, hampir 90 peratus gerai berjaya disewakan setiap tahun.

Seorang pemilik kedai dalam talian yang menjual aksesori dan pakaian kanak-kanak perempuan, bebebows.com, Cik Noor Leza Mohamed Noor Asidin, yang baru sahaja mula berjinak-jinak membuka gerai di bazar Geylang Serai tahun lalu, akur bahawa keuntungan yang diraih cukup berbaloi sehingga ia membentuk sekitar 30 peratus daripada keuntungan perniagaannya tahun lalu.

Tahun lalu beliau hanya menyewa satu gerai yang dikongsi bersama seorang peniaga lain.

Namun, setelah meraih keuntungan $20,000 tahun lalu, tahun ini beliau telah menyewa sebanyak tiga gerai.

Walaupun ada aksesorinya dijual pada harga serendah $2, tetapi kebanyakan ibu yang berhenti di gerainya akan membeli sehingga lima aksesori.

Kuasa membeli masyarakat Melayu/Islam ternyata tinggi terutama semasa bulan Ramadan ini kerana keinginan mereka memiliki barang-barang baru pada Hari Raya.

Kuasa membeli ini juga telah merangsang beberapa pihak membuka bazar di Woodlands, bersebelahan pusat beli-belah Causeway Point.

Penganjur Bazar Utara yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Orange Events and Media, Encik Syah Ibrahim, berpendapat menyediakan bazar di Woodlands merupakan satu strategi yang baik kerana potensinya untuk berkembang.

Walaupun beliau mengalami kerugian sekitar 20 peratus tahun lalu, tetapi baginya ia merupakan satu pelaburan jangka panjang.

Ini kerana beliau yakin para penduduk yang tinggal di Woodlands, Marsiling, Yishun dan Jurong akan datang ke Bazar Utara untuk berbelanja kerana ia lebih dekat dengan rumah mereka berbanding dengan bazar Geylang.

Encik Syah turut menambah, beliau telah membelanjakan sehingga $500,000 untuk pemasaran dan hiburan tahun ini bagi memeriahkan suasana, sekali gus menjadikan bazar Utara sebagai bazar alternatif kepada masyarakat Melayu di sini.

Ternyata bazar Ramadan memang boleh diibaratkan sebagai 'lombong emas' dan amat dinanti-nantikan oleh setiap pegerai untuk mencari rezeki sepanjang sebulan berpuasa.

Dan nampaknya setiap tahun, bukan sahaja pegerai tempatan yang merebut peluang ini, bahkan pegerai luar negara juga.

Jika pegerai tempatan tidak bertindak dengan cepat, mereka mungkin akan terlepas peluang keemasan ini.

Mungkin juga ada suara-suara sinis yang mengkritik kehadiran bazar dan menyifatkannya sebagai 'pencemar' kepada kesyahduan dan kesucian Ramadan.

Tetapi, jika tiada permintaan tentu tiada bekalan.

Jika tiada orang yang datang berpusu-pusu ke bazar Ramadan, tidak mungkin para pemilik gerai akan sanggup bersengkang mata dan menahan panas semata-mata untuk menjual produk-produk mereka di tempat yang selalunya tidak akan dikunjungi ramai jika bukan bulan Ramadan.



 
   
 

EKSTRA!

 
 
Belajar pada usia tua
 
 
Kursus ijazah Islam sesuai buat golongan separuh usia
 
 
Wahai peniaga, usah jatuhkan imej kuih Melayu
 
 
Pelancaran Kelab HEAL
 
 
Ubat baru cegah HIV
 
 
Terkencing
 
 
Uji kesan ubat ke atas sel induk barah
 
 
Forum barah buah dada dalam bahasa Melayu
 
 
Hollywood Ditawan
 
 
Flying Dutchman diserang sakit jantung
 
 
May temu anda 19 Mei