Mudah cetak
E-mel
16 Nov 2009
EKSTRA!
KELAB
Peluang keemasan
Peserta Kem Obor nantikan masa tebarkan kreativiti menulis, merakam foto dan mereka hias
Oleh
Nurliza Mohd Shah
KALI pertama menyertai kem kewartawanan tentunya merupakan pengalaman yang dinanti-nanti lagi menyeronokkan.
Nur Hidayah Mohamed Hisham dan Muhd Syafaie Musa, kedua-duanya 14 tahun, pelajar Sekolah Menengah Admiralty memang tidak sabar mengikuti perkhemahan tiga hari, anjuran Kelab Obor, Berita Harian, minggu depan.
Bagaimanakah Sekolah Menengah Admiralty memilih calon-calon untuk mewakili sekolah itu dalam pertandingan yang dijangka sengit dengan penyertaan sekitar 160 pelajar?
Kata guru mereka, Cik Noor Hasnah Adam: 'Saya sebenarnya sedang sibuk berkursus di Kem Amoy Quee, Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC), buat masa ini.
'Walaupun begitu, saya memilih beberapa pelajar terbaik yang amat meminati bahasa, sastera serta budaya Melayu untuk mewakili sekolah.
'Bahasa Melayu mereka juga baik walaupun masih boleh digilap. Mereka juga mempunyai semangat berjuang yang tinggi.
'Mereka boleh bekerjasama secara sekumpulan dan mempunyai dorongan diri yang tinggi.
'Semangat inilah yang perlu ada kerana sepandai mana seseorang itu, tetapi kalau tiada semangat juang, pelajar itu tidak akan berjaya dalam apa sahaja yang mereka ceburi.'
Cik Noor Hasnah menambah beliau ingin mendedahkan pelajarnya kepada keindahan bahasa Melayu dan mencetuskan minat mereka yang mendalam terhadap bahasa sastera dan budaya.
'Penulisan adalah satu cabang untuk mengasah kreativiti dan memberi cabaran kepada mereka menangani sebarang rintangan. Saya percaya mereka akan menimba pengalaman yang menarik yang dapat mereka gunakan untuk keperluan akan datang,' tambahnya.
Kem Obor adalah wadah sesuai untuk pelajar menggarap kemahiran menulis berita dan rencana, merakam foto dan mereka hias halaman.
Peserta diperlukan menghasilkan satu setengah halaman bersandarkan maklumat yang diraih dari sesi kunjungan ke Pusat Sains Singapura dan juga interviu bersama dua selebriti Anugerah yang diundang. Identiti mereka adalah rahsia. Namun, mereka masih lagi bergelar pelajar seperti anda.
Apabila ditanya apakah yang ingin dipelajarinya daripada sesi itu, Nur Hidayah, berkata:
'Saya ingin pelajari cara menulis laporan dengan lebih kreatif untuk mendapat markah cemerlang bagi karangan dalam peperiksaan bahasa Melayu.
'Selain itu, saya juga berharap dapat memperbaiki semangat serta keyakinan diri saya melalui sesi interaksi bersama para peserta dari sekolah lain.'
Apabila ditanyakan apa pula tiga perkara yang mungkin tidak ingin dilihatnya di Kem Obor, Nur Hidayah yang akan bertindak selaku pereka hias kumpulan, berkata: 'Saya berharap bahawa saya tidak akan melihat kumpulan-kumpulan yang bertanding bergaduh atau bertengkar.
'Saya juga tidak mahu terbiar tidak selesa dalam apa jua situasi serta enggan melihat kritikan yang tidak membina daripada sesiapa kerana ini boleh menyebabkan perselisihan faham antara satu sama lain, dan ini boleh menjejas nama baik orang Melayu,' jelasnya.
Dia memilih tugas sebagai pereka hias kerana ingin mendalami cara menghias halaman dengan baik dan meraih pengalaman baru. Kreativiti juga ingin diasah sebaik mungkin berbekalkan penyampaian dan perkongsian pengalaman wartawan infografik Berita Harian, Cik Nur Amanina Ismail.
Cik Nur Amanina, 26 tahun, adalah anak muda kreatif yang akan membantu menghasilkan reka hias akhbar pelajar i3 dan Gen G yang akan diterbitkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah tahun depan.
Apa agaknya perasaan mereka yang kali pertama menyertai Kem Obor?
Menurut Muhd Syafaie, keghairahan amat terasa kerana dia memang kurang pasti apa yang bakal berlaku di kem tersebut.
'Kem ini akan memberi saya peluang untuk menonjolkan kebolehan dan bakat kumpulan saya. Saya memegang peranan sebagai Editor dalam kumpulan saya kerana yakin dengan ciri-ciri kepimpinan dalam diri saya.
'Saya juga berharap dapat mempelajari cara-cara menulis seperti seorang wartawan yang arif. Pada pendapat saya, tugasan seorang Editor agak menarik kerana beliaulah yang dapat membuat keputusan terakhir serta memberi komen tertentu mengenai aspek penulisan, gambar ataupun reka hias sebuah akhbar,' jelasnya yang tidak sabar ingin mendengar tip-tip yang akan dikongsi di perkhemahan ini.
Nota: Anda masih tidak terlambat untuk mendaftarkan pelajar bagi kem antara 23 hingga 25 November ini. Hubungi Nazri Hadi di talian 6319-5038 atau Norman Sawi di talian 6319-5154. E-mel nama-nama peserta ke bhmedia@sph.com.sg