Mudah cetak
E-mel
8 Jan 2009
EKSTRA!
OBOR PLUS
Teman setia iPod
Memudahkan alat MP3 tercinta dipakai dan dibawa ke mana-mana
Oleh
Haryani Ismail
MEMANG tidak dapat disangkal lagi, iPod merupakan jenama MP3 yang menguasai pasaran peralatan canggih di mana-mana.
Sebagaimana Maggi seakan menjadi nama umum bagi apa jua mi segera dan Nestum pula bagaikan 'melekat' di bibir ramai menyentuh tentang bijirin untuk bayi, begitu juga dengan iPod.
Sejak pengenalan jenama iPod oleh Apple pada 2001, jualan alat MP3-nya yang terdiri daripada iPod Shuffle, iPod Classic, iPod Nano dan iPod Touch menguasai lebih 70 peratus daripada penjualan MP3 serata dunia.
Justeru, tidak hairanlah jika Apple jarang benar mengurangkan harga alat-alat canggihnya atau memberi potongan harga meskipun di pesta-pesta teknologi maklumat. Jenama iPod tetap popular, apatah lagi dengan timbunan aksesorinya yang muncul di pasaran bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Walaupun Apple mereka aksesorinya sendiri untuk kegunaan pelanggan serata dunia, syarikat-syarikat pembikin aksesori (pihak ketiga) nampaknya tidak mahu melepaskan peluang menghasilkan aksesori iPod bagi 'memeriahkan' pasaran yang dianggarkan majalah Business Week mencecah AS$1 bilion ($1.48 bilion) kini.
Ingin tahu dalam banyak-banyak aksesori iPod, apakah yang paling pelik? Ikuti senarai How Stuff Works.
Tangga Kesepuluh: Dompet iPod Nano
iPod Nano comel dan mudah saja digenggam dalam tangan. Ada yang menyimpannya dalam poket seluar atau kemeja.
Namun, kalau anda khuatir, iPod ini tercicir, sebuah syarikat telah menghasilkan dompet iPod Nano dengan alat itu boleh diselitkan sama dengan wang tunai, kad pengenalan atau kad kredit anda.
Dompet kulit buatan Marware ini dilengkapi ruang-ruang khusus untuk wang dan kad kredit. Yang pelik tetapi benar, ruang untuk iPod Nano juga disertakan dengan lubang untuk anda menggunakan jari-jemari anda bagi menekan butang rerodanya. Anda juga boleh mengecas iPod Nano ini sedang ia masih lagi dalam dompet.
Tangga Kesembilan: Tali Pinggang iPod & Boxer iPod
Pakai saja iPod pada pinggang anda sebagaimana anda menggunakannya di gegelang tangan anda atau dengan mengetipnya pada baju.
Syarikat TuneBuckle, misalnya, menjual tali pinggang kanvas khas untuk dilekapkan dengan iPod Nano. Gancu (buckle) tali pinggang dijadikan bekas untuk menampung alat MP3 itu. Terdapat tiga jenis tali pinggang - the Original yang memaparkan keseluruhan bahagian depan iPod; Full Moon yang menutupi segalanya kecuali butang reroda iPod dan Full Metal Jacket yang melindungi keseluruhan iPod dan kelihatan seperti gancu tali keledar pesawat.
Bagi penggemar seluar boxer pula, ada iBox, seluar dengan poket untuk anda isikan dengan iPod. Asal seluar boxer dengan iPodnya sekali tidak terbakar, sudahlah, ya?
Tangga Kelapan: Seluar Dalam iPod
Sarung iPod hadir dalam bermacam bentuk - baik stoking mahupun sarung tangan dengan bulu tebal.
Pernahkah anda melihat seluar dalam iPod Nano atau thong? Sarungnya kelihatan seperti seluar dalam ketat dan ia diperbuat daripada kulit. Inilah aksesori paling seksi dan 'panas' di pasaran.
Tangga Ketujuh: iSticky Pad
iPod memang dicipta untuk golongan pemandu kereta. Mereka tidak perlu risaukan kekurangan lagu untuk diputar sepanjang perjalanan di ekspreswe. Ribuan lagu dan klip video mampu dimuatkan.
Tiada tempat untuk menempatkan iPod anda? Pemegang cawan dalam kereta kadangkala dijadikan sasaran untuk meletakkan iPod tersebut. Bagaimanapun, daripada iPod dibuang sebarangan dalam kereta, HandStands, sebuah syarikat telah mencipta pelekap iPod yang dipanggil iSticky Pad. Ia boleh dilekapkan pada kereta, boleh dicuci, dipindahkan dan digunakan semula.
Tangga Keenam: Sarung Tangan iPod
Ramai yang mengadu dalam cuaca sejuk, butang iPod payah ditekan. Nak cari sarung tangan yang baik juga payah. Kerapkali butang reroda iPod tidak dapat digerakkan atau bergerak dengan pantas kerana ia mudah terkesan dengan elektrik yang mengalir dari jari-jemari kepada pelantar besi itu.
Kebanyakan sarung tangan pula diperbuat daripada bahan yang menyekat elektrik. Justeru, payah memilih lagu kegemaran dengan anda masih belum menanggalkan sarung tangan.
Justeru, kini tercipta sarung tangan iPod yang memanfaatkan teknologi Playpoint. Di bahagian jari-jemari sarung, terdapat tempelan fabrik kecil yang membantu pengaliran elektrik dari kulit ke butang reroda. Tak payahlah nak tanggalkan sarung tu dalam cuaca dingin!
Tangga Kelima: Beg Sandang iPod dan Boom Box
Anda pasti pernah melihat era di mana ramai pengunjung pantai memikul alat stereo yang dipanggil boom box. Nampaknya, era retro ini kembali semula dengan boom box plastik dicipta, disertakan dengan ruang untuk anda membawa iPod ke sana ke mari. Kebanyakannya dihasilkan dalam bentuk beg sandang wanita dengan alat pembesar suara dan butang pembesar suara!
Tangga Keempat: Katil 'Mesra iPod'
Ada orang suka tidur sambil mendengar lagu atau menonton televisyen. Tidak kurang pula yang akan membaca buku. Memandangkan iPod kini menjadi alat kegemaran ramai, pencipta kreatif di syarikat pembikin katil dan perabot, DesignMobel telah menghasilkan Pause, dock iPod terbesar dalam bentuk katil. Apabila anda memainkan alat iPod anda dan memacaknya di bahagian kanan katil, pembesar suara Bose akan memberikan anda ketenangan atau keseronokan yang anda inginkan. Berbaring sambil menikmati alunan lagu.
Tangga Ketiga: Alat Phonograph iPod
Pada 2006, pereka Tristan Zimmerman bercadang untuk menggabungkan alat antik dengan unsur canggih dalam bentuk Phonophone, sebuah pembesar suara iPod dalam bentuk pemutar rekod lama.
Tangga Kedua: Bekas iPod Kalis Peluru
Melihat pada sarung atau bekas iPod ini, ia membayangkan seakan si penggunanya akan pergi berperang.
Tetapi bayangkan kalau alat canggih ini terjatuh atas batu konkrit dan berderai, tak ke 'berlubang' juga kocek anda?
Pencipta bekas iPod kalis peluru ini mendapat idea ketika iPodnya terjatuh di dalam kereta api yang sesak.
Selepas itu, dia mulalah menghasilkan bekas besi berkilat untuk iPodnya. Besi itu nampaknya kalis peluru. Boleh bawa ke medan peperangan!
Tangga Pertama: Pemegang Kertas Tandas iPod iCarta
Bagi mereka yang tidak mampu meninggalkan iPod mereka barang sesaat pun (sampai ke tandas pun, nak dibawanya iPod), inilah alat pembantu.
Atech Flash Technology menghasilkan dock iPod dengan menggunakan pemegang tisu tandas. Katanya, sambil buang air kecil atau besar, anda masih mampu mendengar iPod anda berbunyi kerana pemegang tisu tandas ini dilekapkan dengan empat alat pembesar suara kalis air! Wah! Seronok betul!