Mudah cetak
E-mel
2 Dis 2008
EKSTRA!
Bromo memukau
Ratusan pengunjung beratur lihat matahari terbit
Oleh
Rukaiyah Ahmid
BROMO - gunung berapi yang aktif dan paling terkenal di Jawa Timur. Ramai yang ke sana dengan satu matlamat - untuk melihat matahari terbit.
Gunung di kawasan pergunungan Tengger itu memang mempesonakan dan sungguh menarik.
Saya memilih untuk menginap di Klub Bunga Butik Resort di Batu yang terletak di ketinggian 600 meter sewaktu saya dan suami ke sana pada Jun lalu. Batu merupakan bandar terdekat dengan Gunung Bromo. Perjalanan ke sini dengan kereta dari Surabaya ialah kira-kira tiga jam.
Untuk melihat matahari terbit pada 5.30 pagi di pergunungan, kami harus berangkat dari Klub Bunga pada tengah malam kerana perjalanannya sekitar tiga jam.
Perhentian pertama ialah di Desa Cemoro Lawang. Perjalanan pada tengah malam dalam keadaan gelap membuat saya tertidur nyenyak di dalam kereta. Apabila saya tersedar, saya dapati kami berada di lereng gunung yang dikelilingi hutan. Jalannya berliku-liku dan kami berada di ketinggian 1,500 meter. Mujur kami telah memakan ubat penahan mabuk sebelum bertolak.
Kami tiba di Desa Cemoro Lawang pada 3 pagi dengan keadaan separuh sedar. Terasa hawa gunung yang amat sejuk. Mujur kami telah bersedia dengan baju panas.
Di Desa Cemoro Lawang kami bertukar kenderaan. Kami menaiki jip untuk melalui jalan yang lekak-lekuk dan curam. Kami memilih untuk menunggu dan tidur di dalam kereta hingga kami dibangunkan pada 4 pagi untuk meneruskan perjalanan mendaki Gunung Penanjakan yang tingginya 2,702 meter.
Rasanya tidak sabar untuk ke sana. Pemandu jip memandu dengan pantas, mungkin khuatir kami akan ketinggalan melihat matahari yang akan terbit nanti.
Perjalanan ke atas berliku-liku dan gelap. Apabila kami tiba di kaki Gunung Penanjakan, terdapat berpuluh-puluh jip lain yang telah beratur di tepi jalan. Di kiri dan kanan jalan terdapat banyak kedai yang menjual baju panas, topi dan juga skarf bulu. Mujur kami telah bersedia dengan baju panas. Kalau tidak terpaksalah kami menyewa baju panas yang agak lusuh dengan harga 10,000 rupiah ($1.95) satu.
Saya bayangkan akan menikmati suasana romantik di puncak gunung di mana kami boleh bersarapan sambil menyaksikan matahari terbit. Tetapi, apa yang saya lihat ialah ratusan pengunjung dari pelbagai negara yang telah datang lebih awal daripada kami dan telah bersedia dengan videocam, kamera digital dan kamera SLR (kamera 'single-lens reflex' yang menggunakan sistem cermin yang bergerak secara automatik).
Mereka beratur berderet-deret di tepi pagar besi di puncak Gunung Penanjakan. Ramai yang ghairah mencari tempat yang paling strategik.
Secara kebetulan kami berjumpa Duta Besar Indonesia di Singapura, Encik Wardana, di Bromo. Ketika itu beliau sedang sibuk membuat persiapan untuk memperkenalkan Indonesia sebagai destinasi pelancongan.
Memang pemandangan matahari terbit di puncak ini sungguh memukau. Saya lupa jerih payah bangun pada tengah malam dan perjalanan yang memabukkan.
Dari celah-celah kaki manusia yang berdiri di tepi dan di atas pagar besi, saya ajukan kamera saya ke arah matahari terbit untuk merakamkan phenomena semula jadi ini.
Perlahan-lahan langit menjadi kemerah-kemerahan dan keadaan di sekeliling menjadi terang - satu keadaan yang unik kerana berlatarkan gunung-ganang dan kepulan awan yang mempesonakan. Tidak seorang pun yang mahu berganjak kerana ingin menikmati setiap detik keindahan alam semula jadi ini.
Setelah matahari terbit sepenuhnya, perhatian pengunjung tertumpu pula kepada sebelah timur di mana terdapat gunung yang sentiasa memuntahkan kepulan asap putih.
Inilah Gunung Bromo yang tingginya 2,440 meter. Di sebelahnya ialah Gunung Batuk (2,392 meter) yang kelihatan tidak aktif dan di belakangnya pula Gunung Semeru (3,676 meter).
Setiap 15 minit ia akan mengeluarkan asap dan setiap kali ini terjadi terdengar sorakan pengunjung. Setelah puas melihat keadaan di kawasan ini tibalah masa untuk turun ke lembah Bromo yang di panggil Lautan Pasir kerana kawasan ini dipenuhi pasir hitam yang terhambur keluar dari Bromo selama beberapa tahun lamanya.
Seperti satu penghijrahan beramai-ramai, pengunjung mula menaiki jip masing-masing dan memulakan perjalanan. Saya ingin mengambil seketul batu kerana memang hobi saya mengumpul batu dari tempat-tempat yang pernah saya lawati. Tetapi saya diberi amaran oleh Pak Ghani, pemandu kami, supaya berhat-hati kerana ada tiga perkara yang kami harus patuhi apabila memasuki kawasan ini.
Pertama, kita tidak boleh buang air kecil dengan menghadap ke Bromo. Kedua, kita tidak boleh takbur dan ketiga, kita harus meminta 'kebenaran' sebelum mengambil apa-apa pun dari kawasan ini.
Dalam masa setengah jam kami sampai ke kawasan datar di mana terdapat berpuluh-puluh ekor kuda yang menanti untuk disewa dengan bayaran 50,000 rupiah untuk membawa pengunjung ke puncak Bromo sejauh 1.5 kilometer.
Sambil menunggang kuda kami menikmati pemandangan eksotik, tetapi kami belum dapat melihat kawah Bromo walaupun kami telah dapat mencium bau belerang. Kami turun dari kuda dan memanjat 250 anak tangga untuk ke bibir Bromo.
Awan yang rendah menghiasi kawah Bromo. Di dalam lekukan tanah yang dalam serta luas terhambur asap tebal. Bagi saya yang melihat fenomena ini buat pertama kali, pengalaman ini sungguh menakjubkan.
Rasanya kami tidak hendak meninggalkan tempat ini kerana cuacanya yang nyaman dan pemandangan yang sungguh indah. Setelah puas, kami kembali ke Desa Cemoro Lawang untuk menikmati nasi goreng dan kopi panas di Lava View Lodge sebelum pulang ke bandar Batu.
Nota: Penulis ialah seorang guru.