Mudah cetak
E-mel
28 Jun 2008
EKSTRA!
VROOM
COMEL TAPI LASAK
Terios dengan
tujuh tempat duduk sesuai untuk semua
Oleh
Jaz Al-Zain
JIKA anda penggemar kereta yang kelihatan lasak, boleh membawa keluarga yang ramai tetapi seram dengan harga yang tinggi dan kuasa yang besar (cukai jalan pun besarlah), mungkin penantian anda sudah berakhir.
Daihatsu, yang selama ini hanya memberikan tumpuan pada kereta kompak dan kecil, akhirnya mencuba melangkah ke kawasan baru, iaitu sebuah kenderaan SUV yang boleh membawa tujuh orang.
Namun, terus terang saya katakan bahawa Daihatsu Terios mereka yang terbaru itu bukanlah 'baru' dalam erti kata yang baru. Ia sebenarnya model SUV Terios yang popular sekarang yang dipanjangkan untuk membawa dua penumpang tambahan.
Toyota juga mempunyai Rush (yang dibawa oleh pengimport bebas) tetapi tidak diketahui sama ada mereka juga akan menawarkan Rush yang boleh membawa tujuh orang.
Terios untuk tujuh orang ini tidak banyak berbeza daripada model yang ada sekarang kecuali jarak tayarnya sudah dipanjangkan untuk menampung dua penumpang tambahan.
Ia sepanjang 2,685mm atau 85mm lebih panjang daripada model yang ada. Dua penumpang di belakangnya akan duduk betul-betul di atas tayar belakang SUV itu.
Ia bukanlah tempat yang paling selesa, tetapi pada masa yang sama, tidaklah teruk sangat. Kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak terlalu tinggi harus dapat duduk dengan baik.
Tempat duduk di barisan kedua terpaksa dilipat dua kali sebelum kita dapat ke barisan ketiga. Mungkin leceh bagi yang sudah biasa dengan SUV atau MPV hari ini yang hanya memerlukan satu gerakan sahaja untuk ke barisan ketiga.
Jika Terios lama merupakan pacuan empat roda, model terbaru ini sekadar pacuan dua roda di bahagian belakang. Bagi saya, ini bukanlah satu isu memandangkan anda tidak perlu sangat pacuan empat roda untuk jalan- jalan di sini. Ini juga bermakna penjimatan dari segi penggunaan minyak - yang lebih penting sekarang.
Jika anda suka posisi memandu yang tinggi, mungkin anda suka dengan Terios ini. Jarak bawahnya dengan permukaan jalan ialah 200mm, tetapi ia tidak terlalu tinggi untuk menyukarkan anda keluar masuk seperti yang terdapat pada sesetengah SUV yang lebih besar.
Mungkin ramai agak ragu sama ada enjin 1,495cc yang menghemburkan 103bhp mampu mengangkut sehingga tujuh penumpang. Bagaimanapun, saya tidak merasakan kelemahan enjinnya dan yang pasti, Terios ini tidak akan terasa lembap.
Memandangkan ia dibuat di Indonesia di mana sebuah kenderaan kecil boleh mengangkut ramai orang, saya rasa anda tidak perlu khuatir dengan keupayaannya dari segi itu. Enjinnya juga tidaklah begitu bising kecuali jika memandu pada rpm yang rendah.
Saya sukakan Terios ini kerana faktor comel, penampilan lasak dan 'sporty', selain mampu membawa ramai orang atau banyak barang apabila ruang but diluaskan dengan melipat tempat duduk barisan kedua dan ketiga.
Saya jangka jika harganya dapat dikurangkan lagi daripada sekarang, ia mampu menjadi SUV pilihan di sini.
Kereta
Jenis: Daihatsu Terios 7
Engin: 1,495cc 16 injap 4 silinder DOHC
Gear: Automatik 4 kelajuan
0-100kmh: 15.3 saat
Kuasa maksimum: 105bhp @ 6,000rpm
Torque maksimum: 140Nm @ 4,400rpm
Kelajuan maksimum: 155kmh
Penggunaan minyak: 8.6 liter/100km (keseluruhan)
Harga (termasuk COE): $67,800 ($66,300 - manual)
Pengedar: Sin Tien Seng Pte Ltd
Telefon: 6748-6707 (Kallang); 6298-1466 (Boon Keng)