Mudah cetak
E-mel
28 Jun 2008
EKSTRA!
BENGKEL
Peluang dalami pemahaman lagu-lagu asli Melayu
NIKMATI kemerduan lagu-lagu Melayu di samping memahami selok-belok persembahan lagu asli.
Itulah yang dapat anda lakukan menerusi bengkel bertajuk 'Dendang Asli' anjuran bersama Jawatankuasa Pembangunan Muzik Melayu Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dengan Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus), pada 5 Julai di The Arts House, Old Parliament Building.
Menurut penyelaras projek, Moliano, acara yang dibahagikan kepada sesi berbentuk ilmu dan hiburan itu bertujuan menggalakkan peminat lagu-lagu tradisional agar lebih memahami selok-belok menyanyi lagu asli, di samping memahami sejarah dan latar belakang gubahan lagu-lagu lama.
'Saya benar-benar berharap acara ini dapat menarik para penyanyi dan pemuzik tempatan, tidak kira latar belakang muzik mereka kerana ilmu yang bakal mereka perolehi menerusi bengkel ini dapat menguatkan asas pengetahuan mereka mengenai muzik Melayu.
'Pemahaman terhadap muzik Melayu boleh mempertingkatkan jati diri para pemuzik tempatan,' kata Moliano, seorang penerbit dan juga bekas anggota kumpulan Lovehunters.
Acara dibahagikan kepada dua bahagian - pertama ialah bengkel khas lagu-lagu asli dan dondang sayang yang akan dikendalikan oleh penyanyi dan pensyarah muzik veteran dari Malaysia, Encik Rahim Jantan.
Menerusi bengkel dari 2 hingga 6 petang itu para peserta akan ditunjukkan cara-cara mendendangkan lagu-lagu asli dengan betul, di samping memahami latar belakang sesebuah lagu tertentu.
Kombo tradisional, Sri Mahligai, diundang untuk menghidupkan lagu-lagu yang diketengahkan.
Bermula 7.30 malam pula, sesi hiburan bersama para penyanyi lagu-lagu tradisional akan berlangsung.
Turut membuat persembahan termasuk penyanyi veteran R. Ismail, dan anaknya, Elfee Ismail; Hasnah Kana dan anaknya, Irma Yanti; dan penyanyi Asiyah Sinan.
Tiket-tiket berharga $20 bagi kedua-dua sesi tersebut termasuk makan dan minum. Anda yang berminat boleh mendaftar di talian 9880-4744 (Cikgu Hasnah).