Sajian Berita
Singapura
Luar Negara
Ekstra!
Komentar
Sukan


Badan Melayu
Bantuan Teknikal
Khidmat Iklan

Pena : 4 Julai 2009 Mudah cetak E-mel
  Mudah cetak  | E-mel
KHAZANAH ALAM DI TIMUR PULAU UBIN DIRAKAM DR CHUA EE KIAM UNTUK PENGETAHUAN UMUM

Oleh
Salma Semono

TERPESONA. Inilah satu-satunya perkataan yang mampu saya gunakan sebagai rumusan terhadap buku berjudul Chek Jawa: Discovering Singapore's Biodiversity tulisan Dr Chua Ee Kiam.

Membaca kandungan buku ini, seperti membaca kisah tentang seorang yang terselamat daripada tali gantung. Sebab inilah yang terjadi kepada Tanjung Chek Jawa, sebuah tempat yang terletak di hujung timur Pulau Ubin. Kawasan yang kaya dengan keindahan semula jadi ini, hampir-hampir 'menemui maut' oleh satu projek perluasan di pulau itu.

Melihat pada gambar-gambar dalam buku ini, tidak hairanlah kalau penulisnya mengaku yang beliau pernah menangis semasa mengucapkan 'selamat tinggal' kepada Tanjung Chek Jawa sekitar penghujung 2001. Ketika itu, beliau merasa yang beliau tidak akan dapat lagi menikmati keindahan alam semula jadi di tempat itu, apabila jentolak-jentolak untuk kerja-kerja penambakan tanah, mula bergerak di sana.

Katanya: 'Saya masih ingat yang saya menangis semasa mengucapkan selamat tinggal kepada tempat yang saya mula jatuh cinta. Saat-saat mengghairahkan yang pernah saya alami di sana, masih jelas dalam ingatan kerana ia telah memberi makna baru dalam diri saya tentang hidup.

'Hanya dengan mengkaji hidup-hidupan yang terdapat di tempat itu telah membolehkan saya menilai dalamnya makna keindahan hidup itu sendiri.'

Tetapi Dr Chua mengaku, kalaulah tidak kerana digesa oleh rakan-rakannya dari Persatuan Pencinta Alam Semula Jadi, beliau juga tidak tahu yang Tanjung Chek Jawa merupakan sebuah tempat kaya dengan keindahan alam semula jadi.

'Pada saat saya menjejakkan kaki di pantai Tanjong Chek Jawa, saya terus terpukau kerana saya tak pernah melihat semua ini di Singapura,' kata Dr Chua semasa menggambarkan tentang kekayaan alam yang ada di tempat itu - daripada pemandangan alam yang menakjubkan, terutama pada waktu subuh dan menjelang senja, flora dan fauna serta kehidupan lautnya yang pelbagai warna.

Dr Chua, seorang jurufoto profesional, telah merakamkan banyak pemandangan menakjubkan di Tanjong Chek Jawa dalam buku setebal 120 muka surat ini untuk dinikmati oleh pembacanya.

Umpamanya gambar-gambar pelbagai jenis batu karang dan hidup-hidupan laut yang berwarna-warni, pasti akan membuat anda merenung lama kerana sebagaimana kata seorang teman saya yang gemar pergi menyelam di laut: 'Warna-warna yang ada di laut, adalah warna-warna yang tidak akan anda temui di darat. Cuba bandingkan ikan-ikan air tawar dengan ikan-ikan laut, anda akan nampak perbezaan yang jelas. Sebab warna merah, ungu, biru, hijau dan jingga yang ada di dalam laut, berbeza dengan merah, ungu, jingga, biru dan hijau yang ada di darat. Laut adalah tempat yang sangat indah.'

Dan apa yang dimaksudkan oleh teman saya itu, akan anda fahami jika anda melihat gambar-gambar yang ada di dalam buku mengenai Tanjong Chek Jawa ini.

Selain daripada gambar-gambar yang memukau, buku mengenai Tanjong Chek Jawa ini juga pa-

dat dengan maklumat tentang tumbuh-

tumbuhan paya bakau, pokok nipah dan

rumpai laut. Anda juga dibawa mengenal

pelbagai jenis hidupan di gigi air seperti ikan tembakul, pelbagai jenis ketam dan siput.

Umpamanya, bagaimana pokok nipah mendapat bekalan makanannya bukan hanya daripada daun-daunnya malah daripada rumpai, bakteria dan lain-lain jenis makanan yang dibawa oleh air laut dan anak-anak sungai.

Kawasan bakau yang terdapat di sini juga merupakan tempat yang kaya dengan pelbagai jenis hidupan seperti udang, ketam, siput malah pelbagai jenis serangga dan lintah.

Mengenai haiwannya pula, buku ini menerangkan kenapa tidak semua jenis hidupan laut boleh dilihat pada sebarang masa. Contohnya, ketam, siput dan beberapa hidupan lain lebih aktif pada waktu malam ketika cuaca sejuk.

Ikan tembakul atau mudskipper yang banyak kelihatan di tepi pantai sewaktu air pasang, akan menyembunyikan diri di dalam lubang semasa air surut.

Sekiranya selama ini anak anda hanya kenal tapak sulaiman dan kuda laut daripada gambar-gambar saja, mungkin anda harus bawa dia ke Tanjong Chek Jawa. Di sana, terdapat pelbagai jenis tapak sulaiman, sejenis haiwan yang menakjubkan kerana tangan yang putus boleh tumbuh semula. Satu lagi keanehan haiwan ini ialah duburnya terletak di atas sementara mulutnya berada di bawah.

Tahukah anda apa bezanya pasir, lumpur dan tanah liat? Semuanya ini turut dijelaskan dalam buku ini, termasuk tentang bagaimana bongkah-bongkah batu yang banyak terdapat di pantai Chek Jawa, terbentuk.

Sejak isu kerja-kerja menambaknya di muatkan dalam media massa, Tanjong Chek Jawa kian menjadi tumpuan ramai. Oleh itu, sekiranya anda ingin memanfaatkan sepenuhnya kunjungan anda dan keluarga ke Tanjong Chek Jawa, buku ini haruslah dijadikan bahan panduannya.

Malah diharapkan dengan membaca buku ini, anda tidak lagi rasa tergamak untuk merosakkan khazanah alam yang ada di Tanjong Chek Jawa. Malah inilah di antara objektif utama Dr Chua menulis buku ini iaitu untuk mengajak masyarakat setempat, sama-sama menghargai alam semula jadi di tempat ini.

Oleh sebab itu, beliau telah berikrar untuk menyerahkan sebahagian hasil penjualan buku ini kepada Pusat Biodiversiti di Museum Raffles, Universiti National Singapura (NUS).

Buku berharga $35 (tidak termasuk GST) ini akan dilancarkan dalam satu majlis di Lagoon Resort, Pulau Ubin, pada 21 November ini oleh Speaker Parlimen Encik Abdullah Tarmugi.

 

kirim pandangan anda mengenai laporan di atas

  Arkib      
 
NOTA: cyBerita hanya menyimpan arkib laporan Berita selama tujuh hari.

     

Kirim Karya Anda
Kami alu-alukan sumbangan anda dalam bentuk surat, cerpen, puisi, sajak maupun syair. Anda boleh kirimkan karya anda menerusi

Faks:
6319-8255

Pos:
Editor Ruangan Pena
Berita Minggu
Singapore Press Holdings Ltd
1000 Toa Payoh
Singapore 318994

    Dunia Digital Ekoniaga Forum Komentar Luar Negara Ekstra! Sajian Berita Singapura Sukan Santai Wak Cantuk
Copyright © 2005 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne