Mudah cetak
E-mel

22 Jan 2012

SYIAR

Wanita sedang haid dan nifas tidak boleh baca Quran

SOALAN:

Apakah hukum wanita yang membaca Al-Quran ketika berada dalam keadaan haid atau nifas?

Bolehkah wanita itu membaca doa yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran dan mengulang bacaannya untuk tujuan memelihara hafalannya?

JAWAPAN:

Menurut Mazhab As-Syafi'e, wanita yang berada dalam keadaan haid dan nifas tidak boleh membaca Al-Quran.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah saw daripada riwayat Ibnu Umar ra yang bermaksud:

'Seseorang yang berada dalam keadaan junub dan haid tidak boleh membaca sesuatu daripada Al-Quran'. -- Hadis riwayat Imam At-Tirmizi dan Al-Baihaqi.

Sehubungan dengan itu, di dalam kitab Al-Azkar karangan Imam Nawawi, beliau ada menyebutkan bahawa membaca ayat Al-Quran kerana berdoa di dalam keadaan haid adalah dibolehkan.

Contohnya membaca doa yang ditukil daripada surah Al-Baqarah ayat 201 yang bermaksud: 'Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami kebahagiaan di dunia, dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada siksaan api neraka'.

Mengenai kekhuatiran yang mungkin dialami oleh sesetengah wanita yang telah hafal Al-Quran mungkin boleh terlupa terhadap hafalan mereka, jika mereka tidak menderas Al-Quran dalam masa haid, sebenarnya kekhuatiran tersebut jarang berlaku lebih-lebih lagi masa haid pada kebiasaannya adalah antara enam dengan tujuh hari sahaja.

Kekhuatiran ini juga boleh diatasi dengan membaca Al-Quran dalam hati atau dengan mendengar kaset, cakera padat (CD) dan sebagainya.

Jika beliau seorang guru Al-Quran yang perlu membetulkan bacaan muridnya, beliau boleh membetulkan kalimah-kalimah yang salah sahaja tanpa membaca keseluruhan ayat.

Nota: Soalan dijawab oleh panelis ustaz daripada Pejabat Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



 
   
 

SYIAR

 
 
Penting Tajdid Demi Kebaikan
 
 
Cara Nabi santuni kanak-kanak
 
 
Isteri kedua Nabi berusia 65 tahun ketika dinikahi
 
 
Sebab Al-Quran boleh kekal relevan walau dunia terus berubah