KOTA BHARU: Tenaga penggempur import Kelantan, Mohammad Ghaddar, mahu mempamerkan ketajaman penyudahnya selepas hanya mampu menjaringkan gol melalui sepakan penalti selepas empat perlawanan Liga Super Malaysia.
Penyerang kelahiran Beirut, Lebanon, itu berkata beliau mahu membuktikan kemampuannya sebagai pemain import dengan melakukan jaringan padang, bukannya melalui sepakan penalti.
'Dua gol yang dijaringkan sebelum ini semuanya menerusi sepakan penalti. Begitupun, jaringan tersebut amat penting buat saya bagi mendapatkan sentuhan sebagai seorang penyerang.
'Kegagalan menjaringkan gol sememangnya memberikan sedikit tekanan ke atas saya. Namun, kegagalan itu membuat saya lebih bersemangat mahu menjaringkan lebih banyak gol dan membuktikan kemampuan sebenar saya,' katanya di sini kelmarin.
Penyerang berusia 27 tahun itu, yang hanya tahu bertutur dalam bahasa Arab, mengakui masalah bahasa menghalang persefahaman beliau dengan rakan-rakan sepasukan.
'Masalah bahasa memang mengganggu komunikasi saya dan rakan-rakan. Ia cabaran yang perlu diatasi.
'Kedatangan saya ke bumi Kelantan adalah untuk membantu pasukan meraih kejayaan dan menggembirakan peminat setia Red Warriors,' ujarnya.
Mengulas perlawanan menentang Kuala Lumpur hari ini, Ghaddar berjanji akan mempamerkan aksi terbaik dan memastikan pasukannya mendapat tiga mata.
'Kemenangan perlu diraih dalam perlawanan selepas ini dan Kelantan tidak boleh lagi keciciran mata.
'Saya gembira dapat bergandingan dengan Mat Yo (Norshahrul Idlan Tahala).
'Beliau seorang pemain yang bagus dan saya akan berusaha sebaik mungkin menjadi gandingan terbaik bersamanya,' katanya. -- Utusan Malaysia.