Mudah cetak
E-mel
28 Jan 2012
SUKAN
LIGA SUPER MALAYSIA
Sang Penyu yakin dapat tiga mata
TIGA mata penuh!
Itulah sasaran yang diinginkan Terengganu walaupun bermain buat kali pertama di padang tiruan di Stadium Jalan Besar malam ini.
Berbekalkan tiga kemenangan dan kini menduduki tangga kedua di belakang jiran di utara, Kelantan, Sang Penyu (gelaran Terengganu) ingin rentak kemenangan itu diteruskan.
'Saya kira para pemain kami tidak mempunyai masalah bermain di padang ini... ada yang telah biasa dengannya,' demikian kata pengurus pasukan Terengganu, Datuk Haji Che Mat Jusoh.
Menurut Che Mat, padang bukan masalah utama tetapi kombinasi pemain.
Para pemain Terengganu, yang sebahagian besarnya adalah daripada pasukan yang menjadi naib johan Piala Malaysia musim lalu, adalah kunci keyakinan pasukannya.
'Malah, kehadiran pemain import sekarang adalah sebagai peningkat persembahan yang mantap. Kami tidak mempunyai pemain import pada dua perlawanan pertama,' tambah Che Mat.
Sentuhan jurulatih Mat Zan Mat Aris, yang kembali membimbing Terengganu juga kian serasi.
'Kembalinya Mat Zan dalam pasukan selepas membantu kami menjuarai Piala FA 2000 dan Piala Malaysia 2001, telah meningkatkan kebolehan pemain kami,' ujar Che Mat lagi.
Tenaga pemain import dari Brazil, Erison da Silva Santos atau Baiano, dan Francis Forkey Doe dari Liberia juga membantu Sang Penyu memperkemas permainannya.
'Apa yang lebih menggembirakan kami ialah kededua pemain ini jelas mampu membantu rakan-rakan bagi meningkatkan mutu permainan pasukan,' kata pengurus itu.
Justeru, Che Mat tidak sedikit pun meragui kemampuan kesebelasan anak buahnya untuk memungut tiga mata kemenangan di sini.
Ini disebabkan ramai anggota pasukan dari Pantai Timur itu pernah bermain untuk skuad nasional atau skuad Harimau Muda dan beraksi di Stadium Jalan Besar. Oleh itu, tiada masalah mengenai kemampuan mereka.
Dengan tenaga penggempur utamanya, Abdul Hadi Yahaya, masih menyengat dan Mohamad Ashari Samsudin masih menjadi tonggak penggerak di bahagian midfield, tiada apa yang ingin dirisaukan Terengganu yang hanya dibolosi dua gol sejauh ini.
Tenaga berpengalaman, Mohd Muslim Ahmad dan Zubir Azmi, pula adalah antara pemain harapan bagi melicinkan lagi jentera midfield Terengganu.
Forkey pula telah menunjukkan keberkesanannya sebagai pemain penyerang apabila beliau menyumbat tiga gol dalam dua perlawanan.
Che Mat dikatakan tidak perlu bimbang siapakah yang bakal diturunkan jurulatih SingaXII, V. Sundramoorthy, bagi pertemuan malam ini kerana Penyu bakal pulang dengan mata penuh. -- Oleh MOHD SANI ALI.