Mudah cetak
E-mel
28 Jan 2012
SUKAN
LIGA SUPER MALAYSIA
Teruskan persembahan mantap
Seruan kapten SingaXII
kepada rakan
Oleh
Mohd Sani Ali
TERUSKAN persembahan mantap.
Demikian harapan yang disuarakan kapten pasukan SingaXII, Shahril Ishak, kepada rakan-rakannya bagi melanjutkan rentak dua kemenangan yang dinikmaiti dalam Liga Super Malaysia (Liga-M) sejauh ini.
'Kami harus sedar bahawa langkah kami dalam liga ini masih jauh dan pertemuan dengan Terengganu merupakan satu lagi ujian yang harus kami lalui,' kata Shahril.
Selepas kecundang 1-2 kepada juara Liga Malaysia, Kelantan, SingaXII berdepan pula dengan cabaran genting menentang naib juara Liga Malaysia, Terengganu, yang juga merupakan juara Piala FA Malaysia dan naib juara Piala Malaysia.
Dengan sebahagian besarnya barisan pemain Terengganu telah bersama-sama sepanjang musim lalu dan diperkuat dengan dua pemain import, Shahril dan rakan-rakan sedar bahawa kekuatan pasukan lawan tidak boleh dipertikaikan.
Tanpa pemain import, pasukan muda SingaXII pula bergantung sepenuhnya kepada beberapa pemain senior untuk memikul cabaran dalam Liga-M ini.
'Justeru, tahap persembahan kami masih perlu berkembang kerana jurang permainan antara pemain senior, pemain muda dan pemain baru masih ketara,' tambah kapten SingaXII itu.
'Kerana itu juga, kami tetap gembira dengan keputusan yang kami capai sejauh ini biarpun kami tahu kami harus berusaha lebih keras untuk meningkatkan tahap persembahan seterusnya,' kata Shahril tanpa berselindung.
'Kejayaan ke atas Sabah sudah berlalu. Kini, kami perlu pula menghadapi cabaran baru kerana selepas Terengganu, kami akan berdepan dengan beberapa lagi pasukan handal,' katanya.
Ketiadaan Baihakki Khaizan, yang cedera pada lututnya, boleh menjejas kekebalan kubu pertahanan Singapura seperti yang disetujui juga jurulatih SingaXII, V. Sundramoorthy.
'Bagaimanapun, ia tidak seharusnya menjejas keyakinan pasukan untuk meneruskan kejayaan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya,' kata Shahril.
Sundram turut menyifatkan Terengganu sememangnya pasukan yang berbahaya dan merupakan antara pasukan mantap dalam kempen Liga-M musim ini.
'Mereka adalah yang terbaik tetapi kami tidak harus ragu-ragu dengan keupayaan kami sendiri. Kami harus mengambil pengajaran daripada kejayaan ke atas Sabah untuk dijadikan bekalan kepada keyakinan kami,' kata Sundram.
Dengan Safuwan Baharudin kembali ke dalam pasukan dan Saiful Esah juga dijangka merebut semula tempat dalam kesebelasan utama bersama Agu Casmir yang dilihat kembali berlatih, SingaXII dilihat dapat memberi saingan sengit kepada juara Piala Malaysia 2001 itu.
Selepas empat perlawanan - kalah sekali, seri sekali dan disusuli dua kemenangan - Sundram enggan memberi penilaian persembahan anak buahnya dalam kempen Liga Malaysia yang disertai semula selepas 17 tahun.
'Masih belum sesuai masanya untuk menyatakan tahap persembahan mereka. Malah, belum sesuai juga untuk saya menyatakan penilaian saya kerana semuanya masih baru lagi,' kata Sundram.
'Para pemain masih belum lagi dapat berasakan saingan sebenar kerana ini merupakan penyertaan pertama mereka,' tambah Sundram.
'Harapan saya agar mereka dapat memberikan persembahan terbaik. Hanya dari situ baru kami dapat mengukur graf persembahan mereka sama ada menunjukkan tanda-tanda peningkatan atau sebaliknya,' kata jurulatih itu.
Justeru, mampukah SingaXII meneruskan langkah kemenangan untuk mengekalkan minat para penyokong setempat?
Ia akan diketahui hanya selepas 90 minit perlawanan malam ini.