CETUS KONTROVERSI: Menteri Sukan Bolvia, Encik Miguel Angle Rimba, memberitahu media pihaknya akan menyiasat dakwaan bahawa pasukan YOG negaranya dianggotai pemain melebihi had usia. Sementara itu FAS menyerahkan isu tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab. -- Foto REUTERS
|
Mudah cetak
E-mel
8 Sep 2010
SUKAN
BOLA SEPAK YOG
Bolivia didakwa langgar had usia
Fifa sudah dimaklumkan tetapi pingat emas yang dimenangi
belum pasti tergugat
Oleh
Mohd Sani Ali
PEMENANG pingat emas pertandingan bola sepak Sukan Olimpik Belia Singapura (SYOG), Bolivia, kini menjadi perhatian dunia.
Ini bukan disebabkan bakat dan kemahiran para pemain remaja dari Amerika Selatan itu yang dipamerkan mereka semasa beraksi di Stadium Jalan Besar baru-baru ini, sebaliknya kerana dakwaan mereka menurunkan pemain yang melebihi had usia yang ditetapkan.
Namun, besar kemungkinan pingat emas yang dimenangi Bolivia tidak akan tergugat.
Kontroversi tersebut berpunca daripada dakwaan pengerusi Persatuan Jurulatih Santa Cruz, Arturo Gracia, kepada akhbar La Razon di Bolivia bahawa beliau mempunyai bukti lima pemain pasukan yang memenangi pingat emas di YOG itu tidak seharusnya tampil dalam pertandingan yang dihadkan kepada pemain berusia bawah 15 tahun.
Agensi akhbar Sepanyol EFE turut melaporkan bahawa Timbalan Menteri Sukan Bolivia, Encik Miguel Angle Rimba, difahamkan akan membuat penyiasatan rapi mengenai kes berkenaan.
Dalam masa yang sama, pihak Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) juga dilaporkan turut mengesahkan pihaknya telah dimaklumkan mengenai isu tersebut dan sedang memberi perhatian kepadanya.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Winston Lee, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru itu berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi.
'Oleh itu, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan. Kami menyerahkan isu ini kepada pihak yang berwajib untuk menanginya,' kata Lee ringkas.
Pengurus pasukan YOG Singapura, Jita Singh, turut melahirkan pandangan yang sama, sambil menambah:
'Kahadiran pemain yang melebihi usia ini boleh menimpakan kecederaan yang lebih buruk kepada para peserta yang lain.
'Ia tidak seharusnya berlaku kerana pihak penganjur (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan Fifa) telah pun menekankan mengenai etika ketulusan setiap pasukan agar mengikut peraturan yang telah ditetapkan.'
Difahamkan, para pegawai yang rapat dengan skuad YOG Singapura juga diberitahu oleh pegawai pasukan bola sepak Chile mengenai keraguan usia pemain yang tampil di sini.
Malah, pegawai Chile - negara jiran Bolivia di Amerika Selatan - juga sedar beberapa pemain yang tampil di Singapura adalah para pemain liga di negara mereka.
Isu mengenai pengawalan penyertaan pemain melebihi had usia dalam kejohanan kumpulan umur pernah diajukan oleh Berita Harian kepada presiden Fifa, Sepp Blatter, yang membuat kunjungan khas ke sini untuk menyaksikan sendiri perlawanan pertama bagi temasya sukan yang julung-julung kali dianjurkan oleh IOC.
Blatter malah memberi jaminan isu penipuan usia ini akan dapat dikawal dalam masa dua tahun (lihat keratan akhbar), sambil membentangkan usaha-usaha yang bakal dan sedang dilakukan oleh badan induk bola sepak dunia itu.
Bagaimanapun, ketua Fifa itu tidak menolak kemungkinan timbulnya kesulitan dalam mengawal perbuatan menipu jika sesebuah persatuan bola sepak nasional enggan memberikan kerjasama.
Adalah difahamkan Fifa tidak akan membuat sebarang penyiasatan mengenai isu ini sepertimana yang terdapat dalam peraturan pertandingan di mana sebarang bantahan ke atas pasukan yang menampilkan pemain lebih usia harus dilakukan lima hari sebelum pertandingan bermula.
Ini bererti kedudukan Bolivia sebagai pemenang pingat emas dan Haiti selaku pemenang pingat perak dan Singapura, pemenang pingat gangsa YOG yang pertama mungkin kekal.