Mudah cetak
E-mel
8 Sep 2010
SUKAN
LIGA PERDANA ENGLAND
Liverpool perlukan suntikan pelaburan untuk cemerlang
LONDON: Pengurus baru Liverpool, Roy Hodgson, mendedahkan banyak isu yang perlu ditangani oleh kelab dari Anfield itu.
Malah, keutamaan perlu diberikan ke atas usaha mendapatkan pemilik baru bagi meningkatkan pelaburan dalam pasukan berkenaan sebelum Liverpool mampu meningkatkan cabaran untuk merebut mahkota kejohanan yang besar.
Sejauh ini Liverpool tidak berupaya menemui orang-orang yang boleh dipercayai bagi mengambil alih kelab berkenaan dan meletakkan semula mereka di tempat yang terbaik.
Hodgson juga akhirnya meluahkan mengenai masalah yang menghambat pasukan Anfield itu daripada kembali berada pada zaman kegemilangannya.
'Struktur yang dimiliki oleh Liverpool, tradisi pasukan ini, dan keupayaannya menarik pemain-pemain terbaik, pasti dapat membantunya memenuhi matlamat yang disasarkan, walaupun kami seakan berada dalam keadaan yang cukup asing ketika ini.
'Bayangkan, kelab ini akan dijual dan tiada siapa yang dapat meramalkan ke mana arah tujuannya jika pemilik terbaru ditemui dan bila pula akan ditemui,' kata Hodgson kepada Manager, majalah rasmi Persatuan Pengurus-Pengurus Liga.
Ketika diajukan pertanyaan apakah beliau mampu membawa trofi ke kelab tersebut, Hodgson menjawab:
'Bukan suatu yang mudah untuk menjawab soalan tersebut, tidak seperti ketika berada dalam tahun-tahun yang lalu apabila keadaan jauh lebih mantap dan kedudukan kewangan untuk mendapatkan pemain baru juga sedia ada.
'Kami hanya berharap keadaan akan berubah dan akhirnya kelab ini akan dijual dan pemiliknya bersedia untuk melabur dalam kelab ini.
'Jika semuanya berjalan dengan baik, saya yakin tiada masalah bagi kami untuk mencatat sesuatu kejayaan semula.
'Bagaimanapun, buat masa ini, semuanya bergantung ke atas barisan pemain yang kami miliki dan memastikan kami tidak menghadapai situasi di mana kami perlu membentuk semuanya daripada mula.'
Apa juga masalah yang dihadapinya ketika ini, Hodgson masih enggan menolak kemampuan Liverpool untuk menang.
'Saya tidak rasa anda akan meletakkan sesuatu harapan yang palsu,' katanya.
'Anda tidak harus cuba melemahkan keazaman dan sikap optimis yang diletakkan oleh orang ramai.
'Oleh itu, anda tidak harus menafikan hasrat setiap peminat Liverpool untuk melihat kelab mereka memenangi trofi, terutama kejuaraan Liga Perdana dan mengatasi Manchester United.' - Soccernet.