Mudah cetak
E-mel
8 Sep 2010
SUKAN
SEPARUH MARATON SAFRA
Pelari 'blade' sambut Syawal
dengan sertai larian separuh maraton
Kali kedua Shariff Abdullah masuki acara anjuran Safra, sasar masa kurang tiga jam
Oleh
Mohd Sani Ali
BELIAU ketiadaan sebelah tapak kaki sejak dilahirkan.
Namun, ini tidak sedikit pun menyekat Shariff Abdullah daripada bergiat cergas dalam pelbagai jenis kegiatan luar darjah termasuk mendaki gunung, berlari dan menyertai perlumbaan perahu.
Justeru, tidak hairanlah apabila Shariff, yang menggunakan kaki palsu, diberikan julukan 'Six Million Dollar Man' sempena siri televisyen '70-an yang popular dengan aktor Lee Majors.
Bagaimanapun, segala-galanya berubah pada Ogos 2008 apabila kakinya yang kudung itu dijangkiti kuman dan berasa kebas.
Atas nasihat doktor, kaki berkenaan terpaksa dipotong hingga kira-kira 12 sentimeter.
'Selepas tiga bulan sembuh daripada pembedahan tersebut, saya berazam untuk terus bergiat dalam sukan dan menjadikan acara larian sebagai kegiatan utama saya,' demikian jelas Shariff, 44 tahun.
Pada hujung minggu ini, ayah kepada tiga anak - semuanya perempuan berusia 16 tahun, 15 tahun dan 10 tahun - akan tampil dalam acara Separuh Maraton Tentera anjuran Persatuan Askar Kerahan Angkatan Bersenjata Singapura (Safra).
Ini merupakan penyertaan Shariff yang kedua dalam acara tersebut sejak tampil dengan mencatatkan masa tiga jam.
'Matlamat saya kali ini ialah mencatat masa yang lebih pantas di bawah dua jam 30 minit,' jelas Shariff yang tidak mempunyai pekerjaan tetap selain membantu mempromosi produk kesihatan jenama Maqui.
Awal daripada ini, penglibatannya dalam sukan telah membantu beliau memenangi pingat emas dalam acara lancar lembing di Sukan Orang Kurang Upaya sebelum memindah tumpuannya kepada acara larian.
Namun, tanpa bantuan yang diterima daripada seorang penderma yang hanya dikenali sebagai Cik Beatrich Tan dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Kebangsaan (NCSS), Shariff tidak mungkin dapat menggunakan kaki palsu lariannya - 'kaki blade' - yang membolehkan beliau melibatkan diri lebih cergas dalam acara larian.
'Bayangkan 'kaki blade' ini berharga sekitar $10,000, tanpa bantuan mereka saya tidak sampai ke mana,' katanya.
Sepanjang 2009, beliau telah menyertai pelbagai acara larian sejauh 157 kilometer. Ini tidak termasuk latihan enam kali seminggu selama dua jam sehari.
Namun, sempena Ramadan Shariff hanya berlatih lima hari seminggu dan hanya melakukannya sekitar 11 malam.
Hujung minggu ini, Shariff akan menyertai larian pertamanya sempena Syawal. Beliau telah sertai Larian Reben Kuning anjuran Jabatan Penjara baru-baru ini yang diadakan dalam bulan Ramadan.
Shariff mempunyai rancangan lebih mencabar pada musim akan datang.
'Saya akan menyertai acara larian di Bataan di Filipina, Tembok Besar China, Maraton Boston, selain larian di padang Pasir Sahara,' kata Shariff.
Pakar motivasi sambilan itu juga berazam untuk mendaki Gunung Kinabalu dan ke Nepal, jika keadaan mengizinkan dan jika menerima bantuan daripada mana-mana pihak yang ingin menaja kegiatannya itu.
'Adalah menjadi impian saya untuk mendaki Gunung Everest pada 2015 dan kerana itu saya meneruskan latihan sepenuh masa.'