Mudah cetak
E-mel
8 Sep 2010
SUKAN
LIGA PERDANA ENGLAND
Robben: Van der Vaart
bak sebutir permata
LONDON: Pemain midfield Bayern Munich, Arjen Robben, berkata jurang antara Arsenal dengan Tottenham sudah rapat, tetapi sebahagian besar daripada sebabnya ialah kedatangan Rafael van der Vaart ke White Hart Lane.
Robben telah bermain bersama Van der Vaart di Real Madrid dan juga dengan skuad Belanda semasa Piala Dunia yang lalu dan menegaskan bahawa Spurs telah membeli sebiji 'permata' meskipun pemain itu gagal menyerlah di Bernabeu.
'Sebelum Rafa menurunkan tandatangannya, saya masih berasa Arsenal adalah pasukan yang lebih kuat - tetapi sekarang saya tidak fikir terdapat perbezaan antara kedua-duanya,' kata Robben.
'Dengan Rafa, Spurs benar-benar mempunyai antara pemain midfield yang terbaik dalam Liga Perdana, mungkin juga yang terbaik.'
Robben juga mendedahkan pemain Arsenal, Robin van Persie, telah cuba memujuk Van der Vaart berpindah ke Emirates, tetapi nampaknya tindakannya itu tidak menjadi.
'Saya tahu mengenai minatnya dengan England dan Van Persie telah bercakap dengannya mengenai betapa bagusnya kehidupan di London,' ujar Robben.
'Saya fikir apabila Robin sedang cuba meyakinkan beliau mengenai betapa hebatnya London dan Liga Perdana, ia adalah seolah-olah beliau sedang cuba meyakinkannya supaya menyertai Arsenal.
'Apa yang terjadi sekarang ialah cubaan Robin itu seperti telah memakan dirinya sendiri kerana beliau (Van der Vaart) telah menyertai musuh ketat mereka.'
Robben juga berkata beliau mahu bermain bersama Van der Vaart di Bayern kerana beliau mendakwa pemain midfield itu setaraf dengan yang terbaik dalam Liga Perdana.
'Saya tidak tahu mengapa akhirnya beliau tidak menyertai Bayern. Saya benar-benar mahukannya, tetapi Spurs telah membeli sebutir permata,' katanya lagi.
'Dari segi visinya, keupayaannya mengumpan bola, keupayaannya membolosi pertahanan dan mata yang tajam untuk menjaringkan gol, beliau sebaik Cesc Fabregas, Steven Gerrard dan tentu sekali Frank Lampard.' - Soccernet.