JOHANNESBURG: Ghana dan Nigeria masing-masing mencatat kemenangan dalam perlawanan kelayakan mereka yang pertama bagi Piala Negara-Negara Afrika 2012.
Di Lobamba, Ghana - yang merupakan wakil Afrika yang terbaik di Piala Dunia di Afrika Selatan dua bulan lalu apabila mereka mara ke suku akhir - mengalahkan Swaziland 3-0.
Andre Ayew meletakkan Ghana di hadapan selepas 13 minit sebelum gol-gol jaringan Prince Tagoe dalam minit ke-70 dan Han Sarpei pada minit ke-81 menyaksikan mereka menang selesa dan melompat ke atas Sudan di tangga teratas Kumpulan I.
Nigeria, yang sekadar mengutip satu mata sahaja di Piala Dunia, bangkit dengan mengalahkan Madagascar 2-0 di Calabar.
Obafemi Martins dan Michael Eneramo menemui sasaran.
Namun, kemenangan itu hanya cukup untuk meletakkan mereka di tangga kedua dalam Kumpulan B, di belakang Guinea yang membelasah Habsyah 4-1 di Addis Ababa.
Dalam Kumpulan A, Liberia dan Zimbabwe seri 1-1 sementara pendahulu kumpulan, Kepulauan Cape Verde, mencatatkan keputusan mengejut dengan mengalahkan Mali 1-0, Sabtu lalu.
Zambia pula menguasai Kumpulan C selepas membelasah Comoros 4-0 di Lusaka, dalam perlawanan yang terpaksa ditangguhkan selama 24 jam kerana kelewatan para pegawai perlawanan.
Dalam satu lagi perlawanan kumpulan itu, Mozambique dan Libya seri tanpa jaringan di Maputo.
Mamadou Niang mencatatkan hat-trick di Lubumbashi untuk membantu Senegal mengatasi DR Congo 4-2.
Cameroon mendahului Kumpulan E selepas mengalahkan Mauritius pada Sabtu lalu. -- Soccernet.