GIGIH BUAT PERSIAPAN: Para pemain skuad bola sepak YOG menjalani latihan ringan menjelang pertarungan ujian dengan pasukan nasional Bawah 18 Tahun di Stadium Jalan Besar semalam. - Foto TAUFIK A KADER
|
Mudah cetak
E-mel
1 Ogos 2010
SUKAN
Kadir namakan 18 pemain skuad YOG
AKHIRNYA siapa yang terpilih dan siapa yang diketepikan untuk membentuk pasukan utama bola sepak Singapura dalam mengharungi cabaran Sukan Olimpik Belia (YOG) diketahui malam tadi.
Pemilihan 18 pemain itu telah dibuat selepas pasukan YOG mengadakan perlawanan ujian dengan pasukan nasional Bawah 18 Tahun di Stadium Jalan Besar malam tadi.
Empat pemain pula diletakkan dalam senarai pemain simpanan.
Menjelaskan tentang pemilihan itu, jurulatih skuad YOG, Kadir Yahaya, berkata: 'Pertama, kami melihat tahap kebolehan setiap pemain. Kedua, bagaimana para pemain ini beraksi sebagai sebuah pasukan kerana bola sepak adalah sukan berpasukan.
'Ketiga, komitmen mereka kerana kami mahukan pemain yang komited untuk mewakili negara.'
Bagaimanapun Kadir, bekas pemain nasional dan juga pembantu jurulatih kelab Pelita Jaya di Indonesia, berkata kebolehan empat pemain yang diletakkan dalam senarai simpanan tidak banyak berbeza dengan 18 pemain utama yang dipilih.
'Walaupun kami telah menamakan skuad 18 pemain, kami masih boleh membuat pertukaran jika berlaku kecederaan sebelum mesyuarat pengurus pasukan YOG pada 11 Ogos nanti,' jelas Kadir.
Sejauh ini, Kadir menjelaskan bahawa beliau berpuas hati dengan segala persiapan anak didiknya termasuk mengadakan tiga perlawanan latihan di Melbourne, Australia, pada April dan kemudian lima perlawanan semasa kunjungan ke Akademi Tottenham Hotspur dan West Ham United.
Diminta mengulas lebih lanjut tentang kekuatan dan kelemahan skuadnya, Kadir berkata pasukan ini telah menunjukkan kemajuan beraksi sebagai sebuah pasukan.
'Berbanding pada awal latihan, mereka kini menunjukkan kemajuan bermain sebagai sebuah pasukan. Tetapi ada ketikanya mereka agak gugup apabila menghadapi perlawanan-perlawanan penting.
'Kami akur mereka adalah pemain-pemain muda. Jadi, tidak wajar meletakkan tekanan yang terlalu tinggi ke atas bahu mereka.
'Tetapi kami mempunyai pakar psikologi untuk membantu para pemain meningkatkan tahap keyakinan mereka,' Kadir menambah.
Senarai pemain yang dipilih:
Penjaga gawang: Fashah Iskandar, Hamzah Fazil.
Pertahanan: Syazwan Radhi, Jeffrey Lightfoot, Illyas Lee, Dhukhilan Jeevani, Irfan Asyraf, Firdaus Sham.
Midfield: Amirul Iskandar, Ammirul Emran, Brandon Koh, Sunny Ng, Hanafi Akbar, Jonathan Tan, Bryan Neubronner.
Penyerang: Syazwan Zin, Muhaimin Suhaimi, Hazim Faiz.
Empat pemain simpanan: Nurshaaban Razali (penjaga gawang), Azrin Hamdan (pertahanan), Fatemy Firdouse (midfield), Osalli Rahim (midfield).