BERSIAP HADAPI MUSIM BARU: Penyerang Chelsea, Didier Drogba (tengah), mengatakan sesuatu kepada pengurus pasukannya, Carlo Ancelotti (kanan), di padang latihan kelab itu di Cobham, selatan England. - Foto AFP
|
Mudah cetak
E-mel
1 Ogos 2010
SUKAN
Ancelotti yakin pemain kembali menyerlah
Kekecewaan
di Piala Dunia jadi insentif bantu kelab
LONDON: Para pemain Chelsea yang gagal menyerlah di Piala Dunia Afrika Selatan 2010 baru-baru ini mungkin boleh membantu perjuangan pasukan itu menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim akan datang, kata pengurus Carlo Ancelotti.
Selepas kejayaan berganda menjuarai Liga Perdana England dan Piala FA musim lalu, kini pengurus pasukan dari Italy itu meletakkan sasaran menggondol pula kejuaraan Liga Juara-Juara.
Menurutnya, beberapa bintangnya yang gagal menyerlah dalam Piala Dunia tentunya mahu membuktikan tahap kemampuan masing-masing selepas apa yang berlaku di Afrika Selatan.
Ancelotti berkata: 'Para pemain saya seperti Drogba, Malouda, Lampard dan Terry semuanya muncul dalam Piala Dunia. Tetapi gara-gara tidak menyerlah, ia menjejas imej masing-masing.
'Jika anda melihat pasukan-pasukan gergasi seperti England, Argentina, Perancis dan Brazil, jurulatih masing-masing telah berusaha mencari keseimbangan antara individu dengan pembentukan pasukan itu.
'Dalam musim pertama saya bersama Chelsea, kami menjuarai liga dan Piala FA England, selain Perisai Masyarakat.
'Tetapi kami terlepas peluang menjulang mahkota Liga Juara-Juara. Jadi, menjuarai pertandingan itu menjadi sasaran kami pula.
'Sejauh ini, segala persiapan kami berjalan lancar. Tetapi dalam pada itu, saya akur jika kami gagal menjuarainya (Liga Juara-Juara), mungkin kedudukan saya akan terancam.
'Justeru, kami harus mengembalikan keghairahan musim lalu dan terus bermain dengan baik bagi menghadapi cabaran musim baru ini,' tambah Ancelotti.
Sejauh ini, Ancelotti tidak banyak membeli muka-muka baru. Chelsea telah pun mendapatkan Yossi Benayoun dari Liverpool dan pemain muda Republik Czech, Tomas Kalas.
Tiga pemainnya - Joe Cole, Michael Ballack dan Juliano Belletti - pula telah pun dibenarkan meneruskan kerjaya masing- masing dengan kelab lain.
Selain pasukannya sendiri, Ancelotti begitu berminat mengetahui perkembangan seterunya, Manchester City.
Ancelotti memberitahu: 'Nampaknya City berbelanja lebih besar daripada pasukan-pasukan lain di Eropah.
'Ini jelas menunjukkan bahawa City berazam bukan sahaja berada dalam kelompok empat pasukan utama, malah juga mahu bergelar juara liga.'
Menurutnya, City akan menjadi lebih mengancam jika pengurus pasukan itu, Roberto Mancini, mendapatkan penyerang muda Inter Milan, Mario Balotteli.
'Saya tidak tahu sama ada kami ingin Balotelli tetapi saya gembira jika pemain itu menyertai Manchester City.
'Balotelli adalah pemain yang berbakat dan liga di England ini adalah pertandingan yang sesuai untuknya mengembangkan potensinya.
'Namun, untuk mendapatkan Balotelli dengan bayaran 30 juta euro ($53 juta) adalah jumlah yang besar,' tambah Ancelotti yang berminat mahu mendapatkan pemain midfield Benfica, Ramires, dari Brazil. -- The Sun.