TEKUN MENDENGAR: Sebahagian daripada pemain skuad hoki YOG mendengar taklimat daripada jurulatih Gerard Danker (kiri) sebelum perlawanan latihan dengan skuad nasional di Kompleks Sukan Sengkang kelmarin. - Foto KHALID BABA
|
Mudah cetak
E-mel
1 Ogos 2010
SUKAN
Skuad hoki uji kekuatan di KL
Jalani persiapan fasa terakhir sebelum turun juang di YOG
SKUAD hoki Singapura akan melengkapkan persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik Belia (YOG) dengan mengadakan empat perlawanan ujian di Kuala Lumpur mulai 6 hingga 10 Ogos ini.
Mereka akan mengadakan dua perlawanan menentang pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil Bawah 18 Tahun dan dua lagi perlawanan dengan Universiti Kuala Lumpur.
'Empat perlawanan ujian ini penting bagi memperkemas dan menajamkan permainan kerana ia merupakan persiapan fasa terakhir pasukan kami,' jelas jurulatih pasukan, Gerard Danker, yang dibantu oleh Sunil Prasad.
'Saya berharap para pemain akan terus menunjukkan peningkatan prestasi mereka, berbanding dengan siri perlawanan ujian di Perth, Australia, dan Kuala Lumpur pada awal Jun lalu.'
Sejak dua minggu lalu, skuad YOG turut berpeluang mengadakan enam perlawanan latihan dengan skuad nasional.
'Kami menang dan kalah beberapa perlawanan dengan jaringan yang tipis,' jelas Danker. 'Tetapi yang memberangsangkan ialah peningkatan prestasi pemain-pemain.
Tiga pemain pasukan YOG turut menganggotai skuad nasional - Nur Ashriq Ferdaus Zulkifli, Silas Abdul Razak Noor Shah dan Mohd Haseef Salim - yang turut mewakili negara dalam Piala Dunia Junior tahun lalu.
Kapten Ashriq menjadi pengemudi permainan di bahagian midfield, Silas pula tenaga utama barisan penggempur, sementara Haseef pemantap pertahanan.
'Boleh dikatakan ketiga-tiga pemain ini merupakan tunggak pasukan tetapi bagi memastikan persembahan yang baik, kami lebih mengutamakan kerjasama sepasukan,' tegas jurulatih itu.
Menurut jurulatih itu, persiapan bagi pembentukan pasukan YOG ini bermula sejak Jun tahun lalu apabila 40 pemain yang dibahagikan kepada dua pasukan menyertai Liga Bahagian Satu Persekutuan Hoki Singapura (SHF).
Pada November lalu, bersama beberapa bekas pemain pasukan yang menyertai Kejohanan Piala Dunia Junior, skuad YOG menyertai pertandingan kelayakan di Myanmar.
'Kami menduduki tempat kedua di belakang Pakistan bagi menempah tempat ke pertandingan di YOG ini,' jelas Danker.
'Pada Januari lalu, skuad YOG menyertai Kejohanan SHF Bawah 21 Tahun dan kami berjaya hingga ke separuh akhir dan kemudian menyertai Liga Perdana dan sekali lagi mara ke separuh akhir.'
'Pada keseluruhannya, saya gembira dengan persiapan dan berharap mereka dapat mencapai kejayaan yang baik dalam YOG nanti,' tambahnya.
Berikut pasukan yang akan ke Kuala Lumpur:
Penjaga gawang: Samudra Ong, Kevin Ng.
Pertahanan: Mohd Haseef Salim, Muhd Shafiq Abdul Rashid, Muhd Amirul Asyraf, Shahid Manap, Muhd Zulfadli Jasni Ismail, Abdul Rahim Abdul Rashid.
Midfield: Nur Ashriq Ferdaus Zulkifli (kapten), Muhd Al'fien Mohd Amir, Rahmat Abdul Jalil, Mohd Fadzly Mohd Adam.
Penyerang: Silas Abdul Razak Noor Shah, Karleef Sasi Abdullah, Muhd Hidayat Mat Rahim, Muhd Fahdil Muhd Rizani.