LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, terus mengetepikan minat Barcelona untuk memikat Cesc Fabregas, malah menggesa kapten pasukannya itu supaya kekal dengan pasukan tersebut.
Menurutnya, Fabregas boleh membantu perjuangan Arsenal menjuarai musim baru Liga Perdana England yang menjelang ini.
'Skuad Arsenal mempunyai para pemain yang menunjukkan sikap yang baik dan Cesc boleh membantu Arsenal menyempurnakan impian itu,' kata Wenger menjelang menghadapi pertandingan Piala Emirates.
'Fabregas baru berusia 23 tahun tetapi merupakan antara pemain skuad Sepanyol yang menjuarai Piala Dunia baru-baru ini.
'Saya yakin Cesc akan menjadi pemain yang lebih berpengaruh pada musim akan datang ini. Saya berpendapat kejayaan terbesar yang boleh disumbangkan oleh Cesc ialah membantu Arsenal menjadi juara.
'Sudah tentu kami mahu mengekalkan tenaganya sekalipun terdapat pelbagai desas-desus mengenai kedudukan pemain itu. Kedudukan pemain itu tetap tidak berubah,' Wenger menerangkan.
Barcelona begitu berminat mahu melamar Fabregas, yang bakatnya mula dikenal pasti selepas menyertai program latihan belia pasukan dari Sepanyol itu.
Kelmarin, Fabregas mengakui bahawa beliau seperti tidak tahu sama ada ingin terus bersama Arsenal ataupun kembali ke pangkuan bekas pasukannya.
Barcelona sedia membayar £pounds;29 juta ($61 juta) untuk mendapatkan Fabregas tetapi Wenger menegaskan bahawa Arsenal tidak bersedia mengadakan sebarang rundingan.
Wenger kemudian menarik perhatian bahawa beliau tidak memandang serius mengenai 'insiden' Fabregas yang dikatakan telah dipaksa menyarung jersi Barcelona semasa meraikan kejayaan Sepanyol menjuarai Piala Dunia.
'Ia sebahagian perayaan kemenangan Sepanyol. Anda boleh mengerti insiden seperti ini berlaku tetapi ia tiada kaitan dengan sikap Cesc. Pemain itu selalu menyebut beliau akan tetap bersama Arsenal dan telah membuktikan komitmennya. -- Reuters.