PARIS: Gol dramatik jaringan pemain gantian, Alexandre Lacazette, pada lewat permainan membawa kejayaan Perancis sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Eropah Bawah 19 Tahun dengan menewaskan Sepanyol 2-1 kelmarin.
Penyerang Lyon berusia 19 tahun itu dengan berani menanduk bola dari jarak dekat pada minit ke-85 untuk melengkapkan kebangkitan pasukan tuan rumah.
Kejayaan ini menebus sedikit imej bola sepak Perancis yang tercemar oleh tindak- tanduk pasukan senior mereka dalam Piala Dunia di Afrika Selatan baru-baru ini.
'Ia ibarat silap mata, sungguh cemerlang,' kata penyerang Perancis, Cedric Bakambu, yang menamatkan pertandingan ini dengan menjaringkan tiga gol.
'Kami memberitahu diri kami semasa rehat bahawa kami tidak rugi apa-apa dengan meningkatkan serangan. Dan para peminat memberikan sokongan penuh mereka.'
Sepanyol, yang bermain dengan cemerlang dan menguasai permainan separuh masa pertama, membuka jaringan menerusi Rodrigo yang memanfaatkan umpanan Daniel Pacheco.
Francis Smerecki menyamakan kedudukan pada awal separuh masa pertama bagi Perancis selepas kombinasi yang baik dengan Yannis Tafer dan kegigihan tuan rumah membawa ganjaran menerusi gol kemenangan Lacazette pada minit ke-85. -- AFP.