TERPEDAYA: David Ngog (tengah) tidak menghadapi masalah memperdayakan penjaga gawang Skopje, Martin Bogatinov, untuk membuka tirai jaringan pasukannya. -- Foto AP
|
Mudah cetak
E-mel
31 Jul 2010
SUKAN
Liverpool cemerlang tanpa bintang
David Ngog jaring
kededua gol tumpaskan Rabotnicki Skopje
SKOPJE: Puas hati.
Itulah penilaian pengurus pasukan Liverpool, Roy Hodgson, mengenai persembahan anak buahnya dalam pusingan ketiga kelayakan Liga Europa di sini kelmarin.
Dalam perlawanan pertama itu, Liverpool menewaskan Rabotnicki Skopje 2-0 dengan kedua-dua golnya dijaringkan oleh David Ngog dalam setiap babak 45 minit permainan.
Pemain antarababangsa Perancis itu bertindak pada minit ke-18 melalui celah-celah kesilapan barisan pertahanan pasukan tuan rumah dan menambahkan kedudukan 2-0 pada minit ke-60.
Kelab dari Macedonia itu gagal mencabar Liverpool sekalipun pasukan dari Anfield tidak menurunkan ramai bintangnya termasuk kapten pasukan, Steven Gerrard, dan Fernando Torres.
Kesemua tiket menyaksikan perlawanan itu habis dijual seminggu sebelum perlawanan tetapi ramai di kalangan 22,000 penonton meninggalkan stadium sebelum perlawanan tamat kerana kecewa dengan persembahan pasukan tuan rumah.
'Ramai pemain muda kami tidak pernah beraksi dalam perlawanan seperti ini tetapi secara purata saya puas hati dengan tahap persembahan mereka,' kata Hodgson dalam sidang akhbar.
'Tetapi jika kami ingin mencatatkan pencapaian yang baik dalam perjuangan Liga Perdana England musim akan datang, kami harus menggunakan setiap pemain dalam skuad Liverpool.
'Harus diingat bahawa kami tidak mempunyai 13 pemain tetapi gabungan pemain muda dan berpengalaman telah memenuhi jangkaan saya dalam perlawanan ini,' ujar bekas pengurus pasukan Fulham itu.
Kedua-dua pasukan itu akan bertemu dalam perlawanan kedua di Anfield Khamis ini.
Sementara itu, Juventus, seperti Liverpool, juga mencatatkan kemenangan di bawah pimpinan jurulatih barunya, Luigi Del Neri.
Juventus menewaskan Shamrock Rovers dari Ireland 2-0. Kededua gol dijaringkan oleh Amauri dari Brazil.
Amauri, yang dibeli daripada kelab Palermo dua tahun lalu, hanya memerlukan minit ketiga untuk mencatatkan namanya sebagai penjaring gol dan kemudian menanduk gol keduanya pada minit ke-73.
Gol pembukaan pemain Brazil itu membuat 5,800 penonton tuan rumah seperti terkejut. Bagaimanapun pasukan tuan rumah tetap memberikan saingan sengit kepada anak buah Del Neri.
Mengulas tentang persembahan pasukannya, Del Neri, yang sebelum ini telah memimpin pasukan Sampdoria, berkata: 'Pada keseluruhannya, saya gembira. Persembahan pasukan kami sungguh membanggakan.'
Juventus, yang menduduki tangga ketujuh dalam pertandingan Serie A Italy pada musim lalu, akan menerima kunjungan pasukan tuan rumah pada 5 Ogos dalam perlawanan kedua.
Jurulatih Shamrock, Michael O'Neill, berkata: 'Saya bangga dengan persembahan kami. Setiap pemain harus berasa bangga kerana telah menentang para pemain yang berkualiti. Anda tidak mungkin melihat para pemain ini dalam Liga Ireland.' - Reuters.