KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan memberikan tumpuan membina kekuatan mental para pemain untuk memastikan sasaran memenangi satu pingat emas Sukan Asia Guangzhou, China, pada hujung tahun ini menjadi kenyataan.
Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail, menegaskan bahawa para pemain nasional Malaysia mempunyai tahap kemahiran yang sama seperti negara-negara lain.
'Jadi, apa yang penting dan perubahan yang perlu kita lakukan adalah meningkatkan kekuatan mental pemain-pemain. Itu yang kurang selama ini,' kata beliau selepas berakhirnya Kejohanan Piala Ahamd Ismail kelmarin.
Presiden PSM itu menambah pihaknya sedang dalam proses perbincangan dengan Kementerian Pertahanan bagi mengadakan kursus yang dapat membentuk tahap keyakinan yang tinggi.
Mengenai pembentukan skuad nasional yang baru, Ahmad berkata kejohanan Piala Ahmad Ismail itu merupakan medan pemilihan dengan setiap orang berpeluang mempamerkan kemampuan.
'Jawatankuasa pemilihan telah menilai semua pemain ini sejak semalam (hari pertama) dan telah mempunyai senarai 18 pemain yang akan diserapkan ke dalam skuad nasional,' jelasnya.
'Apa yang penting pemilihan 18 pemain ini adalah berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan seperti tahap ketahanan dan kecergasan dalam gelanggang.'
Kejohanan kali pertama ini berlangsung selama dua hari dan menyaksikan penyertaan 66 buah regu. -- Bernama.