Mudah cetak
E-mel
28 Jan 2012
SINGAPURA
Kutipan derma RLAF
hasilkan $63,000 bagi
mangsa banjir selatan Filipina
Oleh
Nur Dhuha Esoof
YAYASAN Rahmatan Lil Alamin (RLAF) bersama masjid-masjid di Singapura telah mengumpul $63,000 bagi membantu mangsa banjir di selatan Filipina.
Jumlah tersebut dikumpul melalui kutipan derma yang dijalankan selama seminggu dari 30 Disember hingga 5 Januari lalu.
Wang tersebut dipungut melalui sumbangan wang tunai, dalam bentuk cek dan dalam talian kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan kesemua 69 masjid di sini.
RLAF telah menyerahkan wang itu kepada badan bantuan kemanusiaan Mercy Relief semalam.
Ia disampaikan oleh pengerusi RLAF, Encik Poad Mattar, kepada pengerusi Mercy Relief, Encik T. K. Udairam, dalam satu majlis ringkas.
Derma yang dikumpul itu akan disalurkan ke Program Makanan Dimasak dan Program Psikososial kendalian Mercy Relief.
Encik Poad berkata pihaknya terharu dengan jumlah yang dikumpulkan dan ia mencerminkan masyarakat Islam yang murah hati memandangkan pungutan untuk mangsa di selatan Filipina itu dijalankan sejurus selepas selesai pungutan bagi mangsa banjir di Thailand dan Kemboja.
'Masyarakat Islam sekali lagi telah menjawab panggilan bantuan kemanusiaan dan dalam proses itu telah mendekatkan diri mereka untuk menjadi rahmat kepada masyarakat Muslim dan bukan Muslim yang berada di Singapura dan di luar negara,' kata Encik Poad.
Sejak Disember lalu, Mercy Relief telah mengagihkan makanan, air dan barangan kebersihan diri di samping menyediakan khemah tarpaulin bagi menempatkan para mangsa bencana itu.
'Sekarang Mercy Relief berada di fasa keempat apabila tumpuan diberi pada usaha membawa masuk buku serta bahan riadah dan pendidikan untuk diberi kepada sekolah terjejas. Ini kerana walaupun bangunan sekolah masih berdiri, kebanyakan bahan pelajaran dihanyutkan banjir.
'Melalui usaha ini kami berharap dapat mengembalikan kehidupan normal kepada kanak-kanak terjejas,' kata Encik Udairam.
Sejak dimulakan pada 2008, RLAF melalui sumbangan masyarakat Islam setempat berjaya mengumpul lebih $2 juta bagi usaha kemanusiaan di luar Singapura.