Mudah cetak
E-mel
28 Jan 2012
SINGAPURA
Kastam: Bekalan rokok kontraban kian berkurang
Duti daripada rokok bertambah, rampasan rokok yang cuba diseludup berkurang hasil penguatkuasaan
Oleh
Nuradilah Mahbob
PEROKOK semakin mendapatkan bekalan rokok yang telah dibayar cukai kerana bekalan rokok terlarang kian berkurangan, menurut Kastam Singapura.
Ini terbukti dengan jumlah duti daripada rokok meningkat 4.6 peratus kepada $917 juta tahun lalu, berbanding $877 juta pada 2010.
Sebaliknya, bilangan rokok kontraban yang dirampas berkurangan kepada angka terendah 1.9 juta peket tahun lalu, susut 17.4 peratus daripada 2.3 juta peket pada 2010.
Ini hasil tindakan penguatkuasaan yang dipergiat, kata Penolong Ketua Pengarah (Perisikan dan Pemeriksaan) Kastam, Encik Lee Boon Chong, dalam taklimat media bagi membentangkan hasil usaha penguatkuasaan tahun lalu, di Revenue House, dekat stesen MRT Novena, semalam.
'Trend ini menunjukkan lebih ramai perokok kini menukar kepada rokok yang dibenarkan,' ujar beliau.
Namun, masih ada permintaan bagi rokok terlarang walaupun bekalannya telah berkurangan, menurut Kastam Singapura lagi.
Seramai 5,977 orang ditangkap membeli rokok terlarang tahun lalu - bertambah daripada 5,885 pada 2010. Jumlah orang yang ditangkap menjualnya pula berkurangan kepada 458 daripada 702 pada 2010.
Tahun lalu, percubaan empat sindiket menyeludup rokok terlarang ke sini dipatahkan kastam dengan kerjasama agensi lain, seperti Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), polis dan Polis Pengawal Pantai (PCG).
Dalam empat operasi itu, 47 orang diberkas dan 20,210 karton rokok dirampas - kesemuanya bernilai lebih $1.9 juta dari segi duti serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Sindiket dalam tiga kes itu cuba menyeludup menerusi jalan laut. Mereka menaiki bot ke sini dan menyorok rokok-rokok terlarang itu dalam beg sampah berwarna hitam.
Dalam satu operasi terbaru bulan lalu, 14 warga Indonesia dan dua warga Singapura diberkas kerana cuba menyeludup rokok dari Batam menerusi laut.
Kes itu melibatkan sebuah bot tunda berdaftar di Indonesia dan sebuah lori berdaftar di sini. Sebanyak 3,000 karton dan 14 peket rokok terlarang serta satu kilogram tembakau kasar - melibatkan duti dan GST berjumlah lebih $240,000 - dirampas dalam operasi dua hari itu.